Thursday, October 11, 2012

RANGKA ISI KARANGAN TN HJ. ISHAK MD SHAH


PERLIS
1.  Remaja memberikan sumbangan penting untuk mengharumkan nama sekolah.
Sebagai remaja, jelaskan cara-cara yang dapat anda lakukan untuk mengharumkan nama sekolah.

Pendahuluan :
Air jernih genang-genangan
Alir deras jernih di hulu
Tempat jatuh lagi dikenang
Inikan pula tempat menimba ilmu
Pantun di atas lahir daripada hati nurani  saya untuk diapresiasikan kepada para guru dan khususnya kepada alma mater SMK Ambang Saujana yang telah banyak menaburkan budi kepada saya dan rakan-rakan seperjuangan. Dengan sesungguh hati saya mahu berkata, bahawa sekolah merupakan institusi yang berperanan membentuk anak-anak nusa menjadi insan yang cemerlang dan berguna. Sebagai pelajar yang telah berjaya saya berasa amat terhutang budi terhadap sekolah ini dan sentiasa menyimpan azam untuk terus berusaha mengharumkan nama sekolah agar terus mekar di persada nusa.

Isi-isi penting :
Isi 1 :  Berusaha mencapai kecemerlangan dalam akademik – sebagai bakal calon SPM inilah waktu yang tepat untuk melakukan yang terbaik untuk sekolah – imej sekolah akan terus melonjak apabila pelajar berjaya dengan cemerlang dalam sesuatu peperiksaan – berusaha lebih fokus dan mengetepikan segala agenda yang bercorak hiburan dan melalaikan

Isi 2 :  Bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum – pencapaian cemerlang dalam sebarang aktiviti kokurikulum turut menjadi penanda aras sesebuah sekolah diangkat untuk bersaing sama ada di peringkat negeri, nasional mahupun antarabangsa mengasahkan dan mempertajam bakat yang dianugerahi Allah untuk menjadi pelajar yang kompeten dalam sesuatu bidang (sama ada sukan, kelab atau badan beruniform)

Isi 3 :  Berusaha menjadi pelajar yang berakhlak mulia dan bersopan santun – suatu lagi sisi dalam aspek kerohanian yang boleh membantu sekolah mencipta nama – sentiasa disegani sebagai sekolah yang berwatak dan turut menjadi pelengkap kepada kejayaan pelajar

Isi 4 :  Mengambil bahagian dalam sebarang pertandingan yang dianjurkan oleh agensi kerajaan, NGO atau swasta – berpeluang manaikkan imej sekolah apabila berjaya dalam sesuatu pertandingan

Isi 5 :  Bergiat aktif dalam aktiviti sukarela – (Bulan Sabit Merah, KRS, AADK, pengakap dan lain-lain) – melatih diri menjadi insan yang prihatin – turut menyumbang kepada imej baik sekolah

Kesimpulan :
Burung terbang melintas sempadan
Terbang menuju muara segara
Biar jauh berbilang lautan
Nurani kembali ke alma mater
Selayak dengan pantun di atas, sudah menjadi suatu kewajipan kepada setiap anak didik agar menanamkan azam demi menyalakan sebutir kerdipan cahaya demi suatu nama yang akan terus disebut dengan nama yang baik kepada sekolah yang disayangi. Sesungguhnya, saya berdoa dan akan berusaha keras semoga impian tersebut menjadi kenyataan.

2.  Kempen galakan membaca yang dijalankan saban tahun masih gagal untuk menjadikan budaya membaca sebagai amalan hidup masyarakat di negara ini.
Huraikan tanggungjawab sesebuah keluarga untuk memupuk amalan membaca.
MAKLUMAN : Soalan ini hampir sama dengan SBP – sila rujuk
Pendahuluan : Apabila seseorang itu cuba mengkaji dan mendalami kandungan yang tersurat mahupun tersirat daripada Surah Al Alaq, nescaya jawapan yang diperoleh tentulah amalan membaca adalah merupakan suatu kewajipan. Kewajipan membaca bukan sekadar menjadi pelengkap kepada sesuatu peperiksaan, sebaliknya menjadi tanggungjawab untuk melahirkan umat yang berjaya, bijaksana, dan hebat menguasai dunia keilmuan. Namun demikian, saranan membaca menatijahkan nilai yang paradoks apabila masyarakat Malaysia khususnya amat liat untuk membaca. Sama ada di peringkat masyarakat umum hinggalah ke pusat-pusat pengajian, amalan membaca gagal dibudayakan. Walaupun pelbagai kempen dan insentif diberi untuk menyemarakkan amalan tersebut, hasil yang diperoleh amatlah mengecewakan. Oleh itu, sejajar dengan sesuatu kejayaan itu bermula dari rumah, nescaya keluarga haruslah memainkan peranan aktif untuk memupuk semula amalan membaca.

Isi-isi penting :
Isi 1 :  Keluarga perlu membudayakan amalan membaca sama seperti aktiviti tetap yang lain – (amalan membaca Quran bagi keluarga Islam), amalan beriadah dan aktiviti menonton TV dijadikan sama penting dan seimbang dengan amalan membaca
Isi 2 :  Ibu bapa hendaklah memiliki habit suka membaca – menanamkan sifat meneroka dan mencari maklumat baharu dengan membaca – membaca sebagai suatu  penerokaan minda – memberikan kesedaran kepada anak-anak tentang asyiknya membaca
Isi 3 :  Menyediakan prasarana dan sumber bacaan yang cukup – mempelbagaikan bahan bacaan mengikut minat dan tahap – tidak boleh bergantung kepada minat sebelah pihak – fikirkan minat dan kecenderungan anak-anak juga (ibu bapa tidak boleh terikat dengan membaca akhbar semata-mata)
Isi 4 :  Menghidupkan amalan mentor membaca dalam keluarga – ibu membaca kisah penerokaan dan pengembabaraan kepada anak-anak yang masih kecil – bapa membaca sumber-sumber berkaitan sejarah, politik dan ekonomi dengan anak-anak yang lebih matang
Isi 5 :  Mengadakan rutin tetap mingguan atau bulanan untuk berkunjung ke kedai buku atau pameran buku (sekiranya ada) – memberi inovasi dan perspektif baharu kepada anak-anak tentang perkembangan dunia buku
Kesimpulan : Hidup dengan membaca ibarat minda yang sedang bergerak untuk meneroka ke seluruh isi alam. Membaca umpama kita sedang berinteraksi atau berdialog dengan seseorang insan bijaksana melalui huruf dan angka yang disusun untuk menjadi fakta. Oleh itu, keluarga yang sentiasa membaca boleh diibaratkan sebagai sedang mengembara ke seluruh polosok alam. Dengan hal yang demikian, pupuklah minda ahli keluarga dengan amalan membaca.

3.  Amalan berjimat cermat perlu disuburkan dalam kalangan masyarakat untuk menghadapi krisis ekonomi pada masa ini.
Tulis sebuah rencana tentang peranan pelbagai pihak untuk mewujudkan amalan berjimat cermat.

Pendahuluan : Semua pihak telah maklum, bahawa sepanjang tahun 2008 hingga hari ini kos sara adalah terlalu tinggi. Krisis ini berpunca daripada suasana ekonomi dunia yang suram. Peningkatan mendadak harga minyak, perubahan suhu dunia, bencana alam, dan krisis bahan makanan cukup menakutkan banyak pihak. Hingga ke hari ini suasana ekonomi dunia masih dalam suasana yang tidak menentu. Banjir besar yang melanda negara-negara pengeluar pertanian seperti Australia, India, dan Cina turut menyumbang kepada situasi yang semakin gawat. Kini, isu krisis ekonomi bukan lagi suatu perihal ribut dalam cawan kopi dalam kalangan keluarga, sebalik telah mengancam kestabilan global. Oleh hal yang demikian, suatu fasa baharu amalan berjimat cermat hendaklah diperkasakan semula dengan mengambil kira  penglibatan semua pihak.
Isi-isi penting :
Isi 1 :  Peranan pemimpin pada peringkat pembuat dasar (negara) – perancangan bajet negara hendaklah mengambil kira situasi sebenar – mengetepikan sikap bermewah-mewah – mengutamakan agenda kebajikan – merancakkan sektor ekonomi yang boleh menyelamatkan negara
Isi 2 :  Peranan ketua--ketua jabatan (kerajaan, agensi kerajaan dan swasta) – menguruskan perbelanjaan secara berhemah – mengawal perbelanjaan dengan penjimatan dana seperti elektrik, air, peralatan pejabat selain penjimatan dalam perbelanjaan mengurus
Isi 3 : Didikan daripada ibu bapa dalam hal menguruskan ekonomi rumah tangga – merupakan penyumbang utama dalam amalan berjimat cermat – menerapkan sifat berhemat dan cermat dalam kehidupan seharian – mengurangkan belanja yang tidak perlu (pakaian, hiburan dan permainan)
Isi 4 : Masyarakat umum – menyokong semua kempen dan saranan daripada pihak pemerintah mahupun agensi yang berkaitan – memperkasakan sikap sayang akan kemudahan awam – menimumkan amalan membazir dan perbuatan yang merosakkan khazanah negara (membuang sampah merata-rata, menggunakan sumber dan dana awam secara bertanggungjawab)
Isi 5 :  Peranan institusi pendidikan – para guru/pengajar menerangkan secara jelas tentang situasi krisis ekonomi yang melanda dunia – mendidik generasi muda agar faham akan krisis dan malapetaka sekiranya bencana krisis ekonomi melanda
Kesimpulan : Pendidikan daripada peribahasa ingat sementara belum kena, jimat sementara belum habis amatlah tepat diamalkan dalam situasi seperti ini. Janganlah disebabkan sikap yang terlalu berkehendakkan sesuatu sehingga di luar kemampuan, kita terpaksa menanggung beban terutama dalam krisis  gawat seperti ini. Janganlah sudah terhantuk baru hendak menengadah. Oleh itu, semua pihak hendaklah prihatin dengan ancaman ekonomi yang sedang melanda. Rancanglah perbelanjaan secara berhemat dalam erti kata hendak kaya berdikit-dikit, hendak papa bertabur urai.

4.  Kerjasama Malaysia dengan negara-negara-negara jiran amat diperlukan untuk memerangi jenayah pemerdagangan manusia yang kini telah menjadi isu global.
Bincangkan pernyataan tersebut.
Pendahuluan :  Perubahan dunia alaf baru telah mula membentuk suatu fenomena tentang pola migrasi manusia. Peperangan, kemiskinan, dan bencana alam telah mula mengubah landskap dunia apabila migrasi gelombang kedua semakin mengancam kestabilan politik dan sosial di beberapa buah wilayah di dunia. Pola tersebut ialah sindiket pemerdagangan manusia yang ditunjangi oleh rangkaian penjenayah antarabangsa yang turut dikenali sebagai tekong laut dan tekong darat. Kesan daripada jenayah tersebut menimbulkan krisis kemanusiaan yang teruk apabila manusia dengan sewenang-wenangnya dijadikan bahan dagangan demi mengaut keuntungan yang berlipat ganda. Sementara itu, negara yang menjadi transit dan negara penerima turut mengalami masalah sama ada dalam aspek politik, demografi, ekonomi, dan sosial. Sebagai salah sebuah negara transit dan juga penerima, Malaysia tidak wajar berpeluk tubuh dan memandang sebelah mata terhadap krisis ini. Malaysia wajar menjalinkan kerjasama strategik dengan negara-negara jiran agar jenayah yang tidak berperikemanusiaan ini dibendung dengan sebaik mungkin.
Isi-isi penting :
Isi 1 : Memperkukuh sistem politik dan keamanan dalam negara masing-masing – kestabilan dalam negeri boleh menjadi aset untuk menghalang kemasukan warga asing dengan sewenang-wenangnya
Isi 2 : Membanteras gejala rasuah yang masih berleluasa dalam kalangan negara-negara dunia ketiga – berusaha mengurangkan indeks rasuah terutama dalam kalangan penguatkuasa seperti polis, tentera, dan pengawal pintu masuk perairan negara (peribahasa amalan buruk lontar batu sembunyi tangan)
Isi 3 : Mengadakan kerjasama rondaan dalam kalangan negara berjiran – mencegah kemasukan warga asing sacara haram – kedudukan Malaysia dengan negara jiran terutama Indonesia yang kondusif kepada kemasukan pendatang asing tanpa izin (hidup berjiran, ibarat aur dengan tebing)
Isi 5 : Komitmen diplomatik yang intim dalam kalangan pemimpin negara – pertelagahan politik memberi laluan mudah untuk orang lain mengambil kesempatan (peribahasa jong pecah yu yang kenyang)
Kesimpulan : Gejala pemerdagangan manusia merupakan sebahagian daripada krisis kemanusiaan sejak zaman-berzaman. Yang berbeza dari masa ke masa hanya modus operandinya sahaja. Oleh itu, penyelesaian secara global dan serantau hendaklah diteruskan agar landskap politik dunia dan wilayah tidak terancam oleh sikap dan amalan manusia yang bersikap pepat di luar rencong di dalam.


5.  Perumpamaan bagai menatang minyak yang penuh bermaksud ibu bapa yang mendidik anak-anak dengan penuh perhatian dan kasih sayang tanpa berbelah bahagi.

Tulis sebuah cerpen bertemakan maksud perumpamaan tersebut.

MAKLUMAN :  Tiada rangka isi untuk soalan ini – (harap maaf)
KEDAH

1.  Konsep sekolah penyayang adalah berteraskan budaya kemesraan dan sayang-menyayangi dalam kalangan guru dan murid.

Jelaskan cara-cara anda menghargai kasih sayang guru.

CATATAN : Soalan ini hampir sama dengan sampel karangan cemerlang dalam modul saya edisi 2012. Dengan ihsan saya lampirkan semula karangan penuh tersebut;


“Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat menimba ilmu”. Sebagai pelajar yang telah berjaya, anda ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada sekolah dan guru-guru yang mendidik anda.

Tulis teks ucapan untuk melahirkan perasaan anda itu.

Assalamualaikum dan salam sejahtera’
                Yang saya hormati Puan Pengacara Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua SMK Ambang Saujana, Tuan Haji Ramli Bin Mohd Zaini, Yang Dihormati para guru dan seterusnya rakan-rakan yang dikasihi sekalian.
                Atas limpah kurnia Allah yang Maha Pemurah lagi Pengasihani, saya melafazkan kesyukuran kerana dengan izin-Nya kita dapat berjumpa dalam majlis yang amat besar ertinya kepada warga SMK Ambang Saujana. Kita sangat bertuah dan bersyukur kerana di sekolah inilah tempat kita belajar, bermain, berkawan, bermesra dengan para guru dan seterusnya melakarkan kejayaan.

Hadirin sekalian,

Air jernih genang-genangan
Alir deras jernih di hulu
Tempat jatuh lagi dikenang
Inikan pula tempat menimba ilmu

Pantun di atas dengan sesungguhnya, saya dedikasikan untuk para guru dan khususnya untuk SMK Ambang Saujana yang telah banyak menaburkan budi kepada saya dan saudara saudari. Istimewa pula, pada hari yang bertuah ini, kita diraikan sekali lagi kerana mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM.

Hadirin sekalian,
                Sebelum menelusuri lebih jauh, saya terlebih dahulu mengambil peluang untuk mengimbau semula sejarah lima tahun yang silam ketika saya dan rakan-rakan mendaftarkan diri di sekolah ini. Sebagai pelajar baru, kita seolah-olah lembu masuk kampung semasa pertama kali melepasi pintu pagar sekolah. Pelbagai perasaan berbaur dalam benak fikiran tentang alam persekolahan menengah yang bakal kita tempuhi. Perasaan gerun, seronok, dan cemas bertukar ganti mengusik emosi. Maklumlah, pada waktu itu kita dikelilingi oleh pelajar-pelajar yang lebih senior dan ada dalam kalangan mereka yang bertubuh gempal dan sasa. Malahan perkara yang lebih rumit lagi, sesama kita pun belum kenal antara satu sama lain. Namun begitu, semua perasaan tersebut tidak lama berada di dalam minda apabila para guru yang cukup berdedikasi dan penyayang telah membimbing kita. Atas keramahan dan manis muka para guru dan rakan-rakan senior, kita meniti hari-hari berlalu tanpa disedari. Natijahnya, sekarang kita telah menjadi sebahagian daripada insan bertuah yang diraikan oleh phak sekolah atas kejayaan cemerlang dalam peperiksaan SPM yang lalu.

Para pendidik yang dihormati sekalian,
                Alhamdulillah, tiada kalimah seindah madah untuk saya lafazkan atas kejayaan meraih keputusan paling cemerlang yang saya peroleh. Memang benar, rajin dan usaha tangga kejayaan. Namun apa-apapun, kejayaan meraih 9 1A  yang terpampang di hadapan mata bukanlah perkara gampang. Sebaliknya, tanpa usaha dan komitmen yang cukup dedikasi daripada para pendidik dan pengurusan sekolah, kejayaan yang berada dalam tangan saya dan rakan-rakan adalah suatu misi yang mustahil. Kami cukup yakin, setitis liur basah yang terpercik daripada lidah seorang pendidik adalah sumber yang menjadi mutiara ilmu. Terima kasih cikgu! Sesungguhnya, jasamu akan kami kenangi bak seluas lautan yang tidak bertepian .

Rakan-rakan sekalian,
                Selama lima tahun kita menimba ilmu di sini, bukan perihal akademik sahaja yang menjadi agenda pihak sekolah, malahan pembinaan sahsiah dan jati diri turut dirancang. Kita dididik menjadi insan serba boleh dalam bidang kurikulum, kokurikulum, pemantapan rohani serta bermotivasi. Pelbagai program kecemerlangan sama ada yang berunsurkan akademik mahupun kokurikulum telah berjaya membentuk diri kita menjadi insan yang hebat dan cemerlang. Betapa tidak, sekolah ini adalah antara yang tersohor dalam kalangan institusi menengah di negeri ini. Kita cemerlang dalam setiap peperiksaan awam, kita hebat dalam beberapa acara sukan serta kita amat digeruni dalam beberapa pertandingan koakademik seperti pidato, koir, dan persembahan kebudayaan. Pendek kata, kita telah membuktikan kemampuan untuk menjadi insan yang seimbang.  Sesungguhnya, semua kejayaan tersebut tidak lain dan tidak bukan kerana guru-guru yang amat dedikasi yang berada di hadapan kita.

Hadirin sekalian,
                Bercakap bagi pihak diri saya sendiri, perasaan gembira, terharu dan bangga masih belum mampu saya lahirkan sama ada dalam bentuk kata-kata mahupun tingkah laku. Tanpa dibatasi oleh apa-apa sempadan, saya menganggap guru-guru sebagai ibu dan ayah kepada saya. Mereka menyuluhi saya sinar hari depan yang meyakinkan. Mereka amat penyayang dan mereka amat prihatin. Saya percaya walaupun setinggi langit tangan menyapu awan, saya tidak mampu menoleh pandang melainkan SMK Ambang Saujana tetap di hati dan pasti kekal abadi mencipta sejarah. Izinkan saya mengambil segala inspirasi yang tuan-tuan dan puan-puan telah ilhamkan sepanjang mendidik saya. Saya bertekad untuk membalas budi anda dengan membawa balik kejayaan yang lebih cemerlang. Saya berjanji, demi anak nusa yang terdidik sempurna di sini, tidak sama sekali-kali berlaku kacang melupakan kulit sebaliknya tidak jauh seluang melaut balik juga ke muara. Insya-Allah, 

Rakan-rakan yang dikasihi sekalian,
                Diri kita ibarat setinggi-tinggi terbang bangau hinggap semula di belakang kerbau. Janganlah terjadi, daun melayang jauh perdu dilupakan. Pada kesempatan ini, saya menyeru rakan-rakan yang bersama-sama mencipta kecemerlangan di sini agar menyimpan iltizam untuk kembali kepada ibu kandung bagi menabur khidmat dan bakti. Ayuh, masa kita di sini sudah tamat dan kita buka episod baru untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Yang penting kepada kita, jangan sekali-kali kita pergi sehingga melupakan tempat jatuh bangun di sini kerana, “Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat menimba ilmu”. Selepas mencapai kejayaan di peringkat yang lebih tinggi sentiasalah kembali menjenguk sekolah yang telah mencipta sejarah cemerlang kita. Ingitlah pesan peribahasa, daun boleh melayang jauh, tetapi getah tetap mengalir ke perdu.

Hadirin sekalian,
                Berat hati dan longlai langkah untuk saya pergi meninggalkan sekolah ini. Lipatan sejarah yang telah ternukil sepanjang dididik di sini terus menjadi usikan kenangan. Insya-Allah selagi hayat dikandung badan, budi para pendidik tetap dikenang bak budi setahun segunung intan. Saya berdoa semoga Allah mencurahkan rahmat dan keberkatan kepada tuan-tuan dan puan-puan agar terus berdedikasi dalam mendidik anak-anak nusa. Izini kami pergi, dengan saya abadikan serangkap pantun,
Burung terbang melintas sempadan
Terbang menuju muara segara
Biar jauh berbilang lautan
Sebutir katamu menjadi mutiara

Sekian terima kasih.

TAMBAHAN : ISI-ISI ALTERNATIF YANG LAIN UNTUK SOALAN INI

Isi 1 :  Mengenali guru sebagai individu yang sangat dihormati

Isi 2 :  Mengangkat imej dan memuliakan guru

Isi 3 :  Menunjukkan minat yang tinggi terhadap subjek yang diajar

Isi 4 :  Menjauhi sebarang tingkah laku negatif lebih-lebih lagi yang tidak disukai oleh guru

Isi 5 :  Tidak memutuskan tali silaturahim walaupun sudah tamat persekolahan


2.  Bapa ialah suri teladan kepimpinan dalam rumah tangga terutama kepada anak-anak lelaki. Pandangan ini selaras dengan salah satu matlamat pendidikan negara, iaitu memperkasakan pelajar lelaki.

Huraikan sifat-sfat kepimpinan yang perlu diasuh oleh ibu bapa kepada anak lelaki mereka sebagai pemimpin keluarga.

Pendahuluan : “Sayang akan isteri tinggal-tinggalkan, sayang akan anak tangan-tangankan”. Demikianlah petikan seungkapan peribahasa yang merujuk kepada seseorang bapa yang berwawasan dalam menguruskan rumah tangga. Seseorang bapa yang berwawasan selalu memandang masa depan rumah tangga dan potensi anak-anak melebihi segala yang lain. Elok tunjuk pandu dan bimbing didik yang diasaskan oleh seseorang bapa akan menjadi garis panduan kepimpinan anak-anak. Peribahasa getah daun akan mengalir ke batang membuktikan bahawa anak-anak akan menuruti apa-apa jua tingkah laku bapanya. Oleh yang demikian, sejajar dengan melahirkan sifat kepemimpinan dalam kalangan kaum Adam, setiap bapa hendaklah menerapkan nilai-nilai kemimpinan yang berwibawa kepada anak-anak lelaki mereka.



Isi-isi penting :
Isi 1 : Mendidik anak supaya menjadi insan yang beriman dan bertakwa – insan bertakwa sentiasa patuh dan taat kepada hukum Allah yang secara relatif mendidik manusia menjadi insan mulia dan bertanggungjawab

Isi 2 :  Memberikan didikan dan pelajaran yang secukupnya – sebagai langkah untuk menghadapi dunia yang mencabar – dapat memimpin dan mentadbir keluarga dengan cara yang bijaksana

Isi 3 :  Menanamkan dan membentuk perwatakan kelelakian yang normal – fizikal yang mantap, minda yang cerdas dan emosi yang setabil – nilia-nilai murni seperti bertanggungjawab, berani dan penyayang

Isi 4 :  Memberi tunjuk teladan kepimpinan dan mempunyai keyakinan diri – percaya akan diri sendiri dan dan memberi keyakinan kepada orang lain – boleh dipercayai menjadi pemimpin

Isi 5 :  Melatih memimpin  sesuai dengan peringkat usia, kematangan dan kebolehan – sebagai persediaan menjadi lelaki yang berkarisma

Kesimpulan : Kaum Adam dalam dekad-dekad belakangan sangatlah hebat, gagah dan cemerlang. Dalam sejarah tamadun manusia, kaum Adam ternyata hebat dalam mencorak gaya kepemimipinan masing-masing.  Tokoh-tokoh klasik dan moden telah membuktikan bahawa asas yang kukuh akan membentuk modal insan yang hebat. Oleh itu, seandainya anda lelaki, warisilah hemah dan karisme memimpin yang sentiasa dikagumi.



3.  Peninggalan sejarah dan warisan budaya merupakan aset yang mesti dipertahankan dengan baik agar dapat dijadikan sumber rujukan dan tatapan generasi akan datang.

Sarankan langkah-langkah memulihara peninggalan sejarah negara.

Pendahuluan : Kemerdekaan negara kita sudah mencapai usia matang. Kematangan tersebut ditandai oleh usia dan pengalaman pahit manis yang pernah dilalui. Dalam tempoh 55 tahun kita mencapai kemerdekaan, sewajarnya kita sudah cukup bijak untuk membezakan antara kaca dan permata. Permata dalam konteks sebuah negara yang berdaulat ialah segala khazanah dan warisan yang boleh dijadikan sejarah kepada bangsa kita. Walau bagaimanapun, dalam sibuk mengejar kemajuan sebagai pengisian kemerdekaan, kita lupa akan pentingnya nilai-nilai sejarah yang boleh menjadi lambang identiti bangsa. Oleh itu, gemblengan usaha yang bersepadu oleh semua pihak hendaklah digerakkan demi menyelamat dan memulihara peninggalan sejarah negara.

Isi-isi penting :
Isi 1 :  Membina semangat dan sikap positif dalam jiwa raga bangsa – sentiasa berbangga menjadi bangsa yang memiliki sejarah, budaya dan kedaulatan (secara ironi masih ramai rakyat Malaysia yang terlalu mengagumi kecemerlangan bangsa lain)

Isi 2 :  Mewartakan dengan lebih banyak bahan-bahan sejarah – meneruskan ekspedisi dan ekskavasi bahan-bahan sejarah – sebagai bukti kita benar-benar menilai sejarah bangsa sendiri

Isi 3 :  Merawat dan membaik pulih tinggalan sejarah yang dibiarkan daif dan terlindung– usaha Kementerian Kesenian dan Warisan, Jabatan Muzium dan Arkib – usaha pihak berkuasa tempatan (PBT)

Isi 4 :  Membuat dokumentasi dan menghebahkan untuk pengetahuan rakyat dan masyarakat luar – peranan media massa dan media elektronik

Isi 5 :  Memberi taraf dan dijadikan sebagai produk daya tarikan pelancong – mengangkat imej bangsa dan menyumbang kepada ekonomi negara

Kesimpulan : Sesungguhya, bangsa yang buta sejarah sedang menempa suatu masa depan yang hambar. Mereka pasti luput ditelan arus perubahan global. Sebaliknya bagi bangsa yang bermaruah, mereka rela menumpahkan darah demi mempertahankan khazanah bangsa. Oleh iitu, kita wajar menjadi bangsa yang berdaulat dengan membuktikan bahawa kita memiliki sejarah yang sendiri.


4.  Hampir tujuh bilion perut di seluruh dunia semakin terasakan bahana kenaikan harga makanan. Faktor yang menggusarkan masyarakat dunia ialah stok makanan semakin berkurang.

Bincangkan punca-punca kemerosotan bekalan makanan dunia.

Pendahuluan : Sepintas lalu kita mengimbau insan-insan yang boleh diumpamakan sebagai bangkai bernyawa, naluri kita menjerit hiba, takut dan bimbang. Kesengsaraan yang ditanggung oleh segolongan insan yang tidak bernasib baik di beberapa wilayah yang diancam kebuluran amat menakutkan sekali. Kesengsaraan  yang dihadapi telah meruntun simpati agar tragedi kemanusiaan seperti itu perlu ditangani segera. Sebenarnya tragedi kemanusiaan seperti itu berlaku daripada pelbagai punca termasuk perbuatan manusia dan fenomena alam

Isi 1 :  Peperangan yang tidak pernah reda sejak lepas Perang Dunia Kedua 1945 – selain memusnahkan segala sumber alam, peperangan turut menghalang manusia  bergiat aktif dalam kegiatan ekonomi khususya sektor pertanian

Isi 2 :  Kuasa monopoli ekonomi oleh negara-negara pedagang dan negara kaya – mengawal pengedaran bahan makanan (bijirin) ke negara-negara miskin – bertindak untuk mengawal harga – sumber makanan yang tidak dipasarkan dimusnahkan begitu sahaja

Isi 3 :  Bencana alam – kemarau, ribut taufan, gempa bumi dan l etupan gunung berapi– banjir dalam skala luar biasa telah beberapa kali melanda Cina, India, Australia dan Thailand – memusnahkan ladang gandum, sawah padi dan ladang tenusu (banjir luar yang melanda lembah Mekong dan delta Chao Pharaya di Thailand selama 4 bulan)

Isi 4 :  Serangan makhluk perosak – suatu fenomena alam yang sukar dikawal – (serangan daripada ulat, burung, tikus, bena dan belalang) – amat skar dikawal dalam skala yang sangat besar

Isi 5 :  Pembangunan yang tidak lestari – revolusi industri dan sistem petempatan moden banyak memusnahkan sumber semula jadi termasuk hasil-hasil pertanian – negara-negara yang suatu masa dahulu sangat kaya (Greece, Itali, Sepanyol) sedang menghadapi krisis kerana produk pertanian semakin berkuarangan

Kesimpulan : Allah SWT telah menganugerahkan alam yang kaya dengan hasil mahsul ini agar dikongsi oleh manusia moga-moga manfaatnya dapat dirasai bersama. Manusia sewajar insaf, tindakan kejam dan keji seperti melancarkan peperangan dan penindasan hendaklah dihentikan segera demi kelangsungan hak untuk hidup dapat dinikmati secara bersama.


5.  Berdasarkan sebuah karya sastera yang anda baca, jelaskan amalan-amalan baik yang sesuai dipraktikkan oleh masyarakat kini.

MAKLUMAN :  Tiada rangka isi untuk soalan ini – (harap maaf)

PULAU PINANG

1.  Kerajaan mewajibkan program 1 Murid 1 Sukan di setiap sekolah.

Huraikan faedah-faedah yang anda peroleh dengan menyertai aktiviti sukan di sekolah.
CATATAN : Soalan ini hampir sama dengan sampel karangan cemerlang dalam modul saya edisi 2012. Dengan ihsan saya lampirkan semula karangan penuh tersebut;

Pelaksanaan dasar 1 Murid 1 Sukan (1M1S) oleh Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan langkah positif untuk melahirkan rakyat yang sihat dan aktif.

Bincangkan pendapat anda tentang faedah-faedah pelaksanaan dasar tersebut kepada para pelajar dan negara.

Budaya bersukan seolah-olah menjadi suatu fenomena di negara ini. Tanpa mengira siang atau malam, minat terhadap aktiviti sukan semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia. Bukti yang amat jelas apabila terdapat sebilangan besar yang rela bersengkang mata semata-mata untuk menonton pertandingan bolak sepak di peringkat antarabangsa. Dalam negara juga, penonton akan berpusu-pusu membanjiri stadium apabila diadakan pertandingan sukan. Sungguhpun demikian, budaya menggemari sukan dalam kalangan rakyat Malaysia masih belum mampu mengangkat imej sukan negara terutama di persada antarabangsa. Menyedari hakikat tersebut pelbagai inisiatif telah digemblengkan oleh pihak kerajaan. Salah satu inisiatif yang cukup pragmatik ialah  Pelaksanaan dasar 1 Murid 1 Sukan (1M1S). Memang tidak syak lagi dasar ini akan memberi banyak impak positif kepada anak-anak muda negara.

                Langkah yang pragmatik ini sudah pasti dapat melahirkan remaja yang berperawakan sihat dan cerdas. Hal demikian amat nyata sekali kerana sukan merupakan saluran yang terbaik untuk merangsangkan kecergasan  mental dan  fizikal.  Langkah ini dilihat amat praktikal sekali apabila semua aktiviti sukan diuruskan secara terancang dan profesional oleh pihak sekolah. Lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan IMIS, sudah pasti setiap pelajar berpeluang mencuba bakat masing-masing. Oleh itu, tiada pihak yang terasa diri terabai dan disisihkan. Natijahnya, setiap individu berpeluang memperkembangkan semua potensi diri dalam aspek mental, fizikal, dan sahsiah. Sesungguhnya, inilah wajah generasi akan datang yang menjadi taruhan nusa selaras dengan kata-kata,, “Untuk melihat bangsa pada masa depan lihatlah kepada remaja pada hari ini”.

                Impak positif lain yang akan diperoleh remaja adalah dapat mengasah dan mempertajam bakat mereka sejak awal usia lagi. Bertepatan dengan maksud peribahasa, jikalau hendak melentur buluh hendaklah daripada rebungnya dan belakang parang jikalau diasah pun akan tajam, jelas menunjukkan bakat yang terpendam akan menyerlah apabila digilap sejak awal. Nyatalah bahawa dasar ini menjadi medan untuk memupuk profesional sukan. Sementara itu, bagi yang berbakat  pula, boleh membina kerjaya dalam bidang sukan. Mereka pasti teruja dengan pencapaian cemerlang jagoan-jagoan sukan seperti (masukkan nama-nama idola sukan anda). Sesungguhnya, dasar ini boleh dianggap sebagai strategi terancang untuk melahirkan lebih ramai jagoan dan tokoh sukan dalam tempoh satu dekad lagi. Sesungguhnya, dasar 1M1S ini amat bertepatan dengan falsafah Tao yang menyatakan, “Jikalau kamu mahu hidup setahun tanamlah gandum, jikalau kamu mahu hidup setahun tanamlah pokok, dan jika kamu mahu hidup selama-lamanya tanamlah manusia”.

                Signifikan yang lain pula, matlamat 1M1S adalah untuk menjadi landasan terbaik menyediakan pelapis-pelapis sukan yang terdiri daripada bakat-bakat baru. Langkah ini amat tepat pada masanya kerana sudah menjadi resam dunia bahawa yang lama akan berlalu. Oleh itu, usaha ini sangat bertepatan dengan peribahasa patah tumbuh hilang berganti maka yang pergi perlulah diganti. Melalui strategi yang terancang seperti ini persediaan awal dapat digemblengkan dalam usaha melahirkan atlit muda yang lebih kompeten. Dengan yang demikian, negara tidak ketandusan wira-wira sukan. Para wira dan  wirawati ini akan meneruskan misi menggalas tugas mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. Sesungguhnya, kemampuan bersaing di arena antarabangsa bakal mengangkat martabat negara agar kita mampu  duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan gergasi-gergasi sukan dunia

                Peribahasa yang menyatakan gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan jasa menunjukkan bahawa jasa dan bakti menjadi sebab seseorang itu diingati walaupun sesudah mati. Setiap rakyat yang berjiwa patriotik hendaklah bercita-cita untuk memahatkan nama mereka sebagai rakyat yang berjasa kepada negara sesuai dengan laungan keramat di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Sesungguhnya, setiap  warganegara hendaklah menyumbangkan khidmat dan bakti kepada negara mengikut kemampuan masing-masing. Oleh itu, seseorang jagoan sukan sentiasa dijulang namanya sebagai wira yang mengharumkan nama negara. Tokoh ternama seperti Mokhtar Dahari, Dr M Jegathesan, Rabuan Pit dan ramai lagi adalah antara tokoh kesukanan yang sentiasa disebut-sebut. Di sebalik bakat dan kesungguhan mereka, jiwa patriotik begitu menyala di dalam hati dan sanubari masing-masing. Sesungguhnya, langkah memartabatkan sukan di peringkat sekolah dalam program 1M1S merupakan usaha murni untuk membentuk jiwa patriotik ketika masih di bangku sekolah lagi.
               
                “Sambil menyelam minum air”. Demikianlah peribahasa yang boleh dipetik sebagai membuktikan sesutau usaha yang dilakukan kadang-kadang boleh memberikan impak sampingan yang amat berguna. Dalam hal ini, sukan bukan sekadar aktiviti riadah semata-mata, sebaliknya mampu menyokong pertumbuhan ekonomi negara. Impak positif yang turut diperoleh negara apabila sukan sudah mula beralih arah menjadi sebuah industri mahupun kerjaya ialah pulangan dalam bentuk wang ringgit. Di sebalik hadiah dan ganjaran yang lumayan, pelbagai industri hiliran yang berasaskan sukan turut terjana. Apabila mengambil kira sejumlah 20 bilion wang yang mengalir ke Afrika Selatan semasa penganjuran Bola sepak Piala Dunia pada 2010, hujah tersebut boleh mengesahkan bahawa sukan adalah antara penyumbang terpenting dalam mengisi kantung negara. Kini penganjuran seperti EPL, EURO, dan Piala Dunia adalah antara industri sukan terpenting yang berjaya mengaut keuntutngan besar. Selain itu, sukan-sukan ternama yang lain seperti golf, tenis, dan kriket turut menjadi penyumang utama seseorang jaguh cepat melonjak menjadi jutawan. Amat jelas sekali, pada era milenium kini, sukan adalah antara  industri yang mampu menjanakan pendapatan kepada sesebuah negara mahupun kepada atlit yang terlibat.

                Ibarat peribahasa, kalau tidak dipecahkan ruyung masakan dapat sagunya haruslah diterapkan dengan sebenar-benarnya agar matlamat melahirkan lebih ramai jaguh sukan tercapai. Sudah terlalu banyak modal yang dibelanjakan, namun kejayaan atlit negara amatlah menyedihkan. Oleh hal yang demikian, dengan dukungan semua pihak, insya-Allah hala tuju baru oleh KPM ini boleh menatijahkan impak baru kepada dunia sukan untuk sekurang-kurangnya dalam satu dekad akan datang.


2.  Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam usaha menggalakkan anak-anak mementingkan keindahan alam sekitar.

Bincangkan langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak menjaga keindahan alam sekitar.

Pendahuluan : Memetik sepotong peribahasa yang menyatakan, getah daun akan mengalir ke batang jua, menunjukkan bahawa anak-anak sudah pasti menuruti ibu bapa dalam hal tingkah laku dan sikap. Mengambil iktibar daripada peribahasa tersebut, amatlah penting kepada ibu bapa untuk menanami anak-anak dengan segala bentuk amalan yang positif seperti amalan berjimat cermat, kebersihan, dan budaya hormat-menghormati. Kebersihan adalah antara elemen yang perlu diperkasakan dari rumah sekiranya tingkah laku bersih hendak didominasikan dalam masyarakat. Pelbagai langkah dan inisiatif perlu dilagangkan oleh ibu bapa agar anak-anak akan lahir dari dalam acuan tingkah laku yang baik yang dijanakan oleh ibu bapa. Hal sama pasti boleh dilaksanakan untuk melahirkan anak-anak yang sentiasa mementingkan kebersihan dalam kehidupan seharian.

Isi 1 :  Menanamkan dalam diri anak dengan sifat iman dan takwa – orang beriman sentiasa percaya akan adanya Allah dan percaya kepada ganjaran baik buruk – mengotori alam sekitar dan memusnahkan sumber-sumbernya merupakan dosa besar – sebaliknya jikalau menjaga kebersihan memperoleh pahala

Isi 2 :  Melazimi anak-anak dengan persekitaran yang bersih, sihat dan tenang – amalan kebersihan bermula dari rumah – gaya hidup dalam rumah tangga yang mengutamakan kebersihan – seluruh anggota keluarga memainkan peranan masing-masing

Isi 3 :  Menjalankan aktiviti rutin harian dan mingguan menghiaskan dan mencantikkan persekitaran rumah – penglibatan seluruh ahli keluarga – bergotong toyong membersih kawasan, menanam pokok-pokok hiasan dan menjaga kebersihan

Isi 4 :  Ibu bapa bertanggungjawab membawa anak-anak berperawisata ke pusat-pusat pelancongan – membentuk sikap anak yang suka akan kebersihan dan keindahan – memperoleh idea atau konsep baru untuk dibawa balik ke rumah

Isi 5 :  Ibu bapa menyediakan bahan-bahan bacaan, video dan gambar tentang tempat-tempat yang indah dan menarik (Al Hamra di Sepanyol, Istanbul di Turki, dan kawasan-kawasan indah di seluruh dunia)

Kesimpulan : Sesungguhnya, tepatlah kata-kata bahawa, anak-anak apabila diajar erti kasih sayang mereka akan belajar mengasihi, apabila diajar erti kebaikan mereka akan belajar bertanggungjawab, dan apabila mereka diajar erti kebersihan mereka akan belajar menjadi harmoni. Oleh itu, ibu bapa sentiasa menjadi sumber rujukan dan terminologi utama untuk menentukan jati diri anak-anak. Baik perihal yang ditunjukkan, justeru baiklah anak-anak.


3.  Industri pelancongan merupakan antara penyumbang terbesar ekonomi negara. Anda ingin menulis rencana berkaitan dengan peranan pelbagai pihak untuk memajukan industri pelancongan.

Tulis rencana tersebut selengkapnya.

NOTA : Karangan ini dalam bentuk berformat rencana. Pastikan anda mematuhi arahan format.

Pendahuluan :  Sudah acap kali penganjuran tarikan pelancong ke luar negara oleh pelbagai agensi sentiasa mendapat sambutan yang memberangsangkan. Penganjuran tersebut turut disokong oleh pihak kerajaan dengan menganjurkan Kempen Tahun Melawat Malaysia. Kini Malaysia mula dikenali di saentero dunia sebagai destinasi pelancongan yang menarik, murah, dan eksotik. Sebagai contoh, pada tahun 2012, Malaysia telah menyasarkan jumlah kemasukan pelancong kepada 30 juta orang dengan anggaran tukaran asing sebanyak RM30 bilion. Sejajar dengan hasrat negara untuk menjadikan sektor pelancongan sebagai penyumbang utama ekonomi negara, maka semua pihak di Malaysia patut memainkan peranan aktif masing-masing.

Isi 1 :   Penglibatan aktif agensi kerajaan - Kementerian Pelancongan - agensi-agensi di bawah kementerian berkenaan perlu aktif mempromosikan Malaysia ke peringkat global

Isi 2 :   Inisiatif hendaklah turut digerakkan oleh sektor swasta juga -  menyokong dan mengambil bahagian dalam program galakan pelancongan di luar negara - membangunkan prasarana pelancongan seperti kemudahan penginapan dan pengangkutan

Isi 3 :   Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hendaklah menjaga dan memperindah kawasan jagaan masing-masing -  mengutamakan aspek kebersihan dan keindahan - membangunkan tempat-tempat yang berpotensi menjadi daya tarikan pelancong

Isi 4 :      Minda masyarakat hendaklah lebih berfikiran terbuka dan positif terhadap industri pelancongan - melihat sektor pelancongan secara positif - menyokong usaha pihak kerajaan dan PBT menjaga alam sekitar - mengamalkan budaya sopan santun, peramah, dan berbudi bahasa

Isi 5 :   Penglibatan aktif duta-duta di luar negara - menyampaikan mesej yang jelas tentang Malaysia

Kesimpulan :  Sebagai sebuah negara yang aman dan harmoni, Malaysia amat strategik untuk dikunjungi oleh pelancong-pelancong sama ada dari Timur atau Barat. Peluang harus dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya pada masa ini apabila Malaysia begitu popular kepada pelancong dari Timur Tengah dan Asia Timur jauh. Peluang yang sedia terhidang hendaklah bijak direbut, bak kata peribahasa rezeki jangan ditolak, aral jangan diraih.


4.  Kerjasama antara negara di dunia dapat meningkatkan pembangunan pendidikan di sesebuah negara.
Bincangkan kerjasama antara negara di dunia untuk meningkatkan pembangunan pendidikan.
Pendahuluan : Manusia pada dasarnya mempunyai impian dan matlamat yang sama iaitu untuk hidup bebas dan berjaya. Sementara itu, setiap orang dituntut agar menghormati hak asasi orang lain. Hak-hak tersebut seperti hak untuk kebebasan, hak memperoleh kasih sayang dan hak untuk mencari ilmu pengetahuan. Walau bagaimanapun, dalam konteks mencari ilmu ada golongan yang masih tersisih dan terperap dalam kepompong buta huruf. Kalangan negara-negara miskin khususnya masih jauh ketinggalan dalam revolusi ilmu. Dalam dunia ilmu sebagai wahana perubahan, semua pihak harus proaktif mengadakan pelbagai kerjasama antara negara agar ilmu pengetahuan dan pembangunan pendidikan dapat dicambahsuburkan di seluruh pelosok alam.


Isi 1 : Menjalinkan hubungan diplomatik antara negara – jalinan di bawah payung keamanan dunia tajaan PBB – menyingkirkan perasaan benci dan tamak haloba antara sesama manusia

Isi 2 : Menyumbangkan pelbagai prasarana dan logistik ilmu untuk negara-negara miskin – suatu pelaburan jangka panjang untuk memakmukan dunia

Isi 3 : Mengeksport tenaga pengajar sama ada secara sukarela ataupun kontrak – tenaga pakar dari negara-negara maju boleh berhijrah ke negara-negara miskin dan membangun

Isi 4 : Menjalinkan hubungan talian pintar antara cendekiawan dan ilmuwan – memanfaatkan kemudahan teknologi siber

Isi 5 : Mengadakan program pertukaran tenaga pakar dan tenaga akademik – membolehkan peluasan ilmu pengetahuan berkembang secara global – sifat dengki dan busuk hati dan cemberu terhadap nilai ilmu harus diketepikan.

Isi 6 : Melaksanakan rangkaian institusi berkembar – jalinan kerjasama antara universi dan kolej dalam usaha memindahkan ilmu

Kesimpulan : Ilmu apabila dimanfaatkan pasti menjadi lautan rahmat bak kata Pendeta Za’ba,

Ilmu alat sangat berguna
Idaman orang yang bijaksana
Hamparnya luas amat saujana
Tepinya ajal sempadannya fana

Oleh itu, agenda peluasan ilmu tidak boleh tersekat dan tidak harus dijadikan milik peribadi orang tertentu. Ilmu perlu disebarluaskan agar manfaatnya dirasai insan sejagat.


5.  Kini, karya kreatif seperti cerpen dan novel oleh penulis-penulis semakin berkurangan.

Jelaskan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk menggalakkan remaja melibatkan diri dalam penulisan kreatif.

MAKLUMAN : Soalan ini akan saya sediakan dalam bentuk jawapan penuh dan akan disiarkan dalam blog saya selepas ini. Sila ikuti dari semasa ke semasa

PERAK

1.  Setiap ibu bapa mengharapkan ana-anak berjaya dalam kehidupan.

Bincangkan usaha-usaha yang wajar anda lakukan untuk memastikan harapan mereka menjadi kenyataan.

Pendahuluan :  Anak-anak ialah cahaya mata yang menjadi buah hati pengarang jantung kepada kedua-dua ibu dan ayah. Dengan kelahiran seseorang anak, kehidupan ibu dan bapa menjadi lengkap dan sempurna. Apatah lagi apabila anak yang dilahirkan dapat membesar dengan sempurna serta menjadi insan yang berguna. Sebagai anak-anak yang menjadi harapan ibu bapa, mereka hendaklah bersedia untuk menggalas harapan ibu bapa yang tinggi menggunung. Elakkan daripada menjadi anak-anak yang membawa masalah kepada ibu bapa kerana dosa yang paling besar ialah menderhakai ibu bapa. Oleh yang demikian, setiap anak dituntut membuat persediaan sama ada mental, fizikal dan sahsiah yang baik agar harapan ibu bapa terutama apabila menjelang usia  emas mereka tidak dikecewakan.

Isi 1 :  Menjadi anak yang patuh dan taat kepada perintah Allah SWT – insan yang bertakwa sentiasa melakukan kerja-kerja yang baik seperti menghormati ibu bapa – tidak melakukan kerja-kerja yang terkutuk yang boleh menjejaskan maruah ibu bapa

Isi 2 :  Menjadi anak yang luhur pekerti dan bermoral tinggi – pekerti dan moral menjadi piawai seseorang itu dipandang mulia – tidak mudah terjebak dalam angkara yang merosakkan masa depan – menjadi imej (pancaran) hati nurani ibu bapa

Isi 3 :  Berusaha dengan gigih demi jaminan masa depan – mengisi dada dengan ilmu, mempelajari pelbagai kemahiran sebagai jaminan memperoleh kerjaya yang baik – bercita-cita membalas budi ibu bapa

Isi 4 :  Menjalinkan hubungan mesra dan mawaddah dengan adik-beradik dan kaum keluarga – mewujudkan keluarga harmoni – membantu dengan ikhlas tanpa mengira aspek material mahupun moral

Isi 5 :  Bercita-cita menjaga ibu bapa apabila tiba saat-saat akhir mereka – maksud daripada firman Allah, “Akan gugur dosa seseorang anak apabila dia dengan ikhlas menjaga ibu dan bapanya hingga ke akhir hayat” -  tindakan membalas budi ibu bapa yang amat besar nilainya di sisi Tuhan.

Kesimpulan :  Meminjam kata-kata daripada orang-orang lama bahawa, betapa kasihnya seseorang ibu kepada anaknya hatta seekor lalat pun tidak dibenarkan hinggap ke tubuh si anak. Demikianlah pengorbanan besar ibu bapa terhadap seseorang anak. Oleh itu, sikap yang sama wajar dikembalikan oleh anak-anak terhadap kedua-dua ibu bapa. Jasa ibu bapa yang melahirkan dan membesarkan anak-anak tidak terbalas walaupun galang gantinya sebatang sungai emas sekalipun. Dengan hal yang demikian, bersedialah untuk menjadi seorang anak yang boleh diharapkan oleh ibu bapa sebagai tempat mereka bergantung.


2.  Minat bersukan dalam kalangan remaja pada hari ini semakin berkurangan.

Huraikan peranan pelbagai pihak untuk memupuk minat bersukan dalam kalangan remaja.
*MAKLUMAN : Lazimnya soalan no 2 berkaitan dengan keluarga

Pendahuluan : Kehidupan dalam usia remaja ialah masa yang paling menarik, seronok, asyik, cergas dan pantas. Bak kata orang, “Orang muda, ke mana-mana tiada yang terlarang”. Hakikatnya usia remaja adalah tempoh yang perlu diisikan dengan segala kegiatan meliputi rohani dan jasmani. Dalam konteks jasmani, pelbagai kegiatan lasak dan aktiviti sukan telah diwujudkan untuk merangsangkan minat remaja supaya bergiat aktif. Program 1 Murid 1 Sukan yang turut menjadi gagasan Kementerian Pelajaran Malaysia adalah untuk matlamat yang sama. Walau bagaimanapun, anjakan global yang dikuasakan oleh teknologi khususnya teknologi maklumat turut ‘mencuri’ minat remaja agar melupakan kegiatan sukan. Situasi pada petang hari bagaikan sunyi dan lengang kerana ketiadaan remaja di padang seperti yang dapat dilihat dalam dekad-dekad silam. Oleh itu, demi mengembalikan tradisi cergas yang telah berakar umbi sejak zaman-berzaman, semua pihak sama ada kerajaan, komuniti, ibu bapa mahu pun remaja sendiri hendklah mengambil langkah inisiatif untuk mempopularkannya semula.

Isi-isi penting :
Isi 1 :  Remaja hendaklah bijak membahagikan masa mengikut kehendak biologi, mental, fizikal, dan emosi – mesti memperuntukkan masa walaupun sekejap untuk bersukan dan beriadah – memperoleh keseimbangan fizikal sempurna dan merangsangkan minda yang cerdas

Isi 2 :  Ibu bapa tidak boleh terlalu mendesak anak-anak supaya memberi fokus 100 peratus kepada belajar – beri ruang yang cukup untuk anak-anak bersukan – berikan galakan untuk bersukan

Isi 3 :  Masyarakat hendaklah turut terlibat aktif dalam kegiatan sukan – trend minat menonton perlawanan seperti bola sepak hendaklah diseimbangkan dengan penglibtan langsung dalam bersukan – remaja turut terangsang dengan apa-apa jua kegiatan yang hidup dalam masyarakat

Isi 4 :  Pihak sekolah hendaklah menyeimbangkan antara kegiatan akademik dan riadah/sukan – tidak boleh berat sebelah dengan menjadikan aktiviti sukan sekadar melengkapkan takwim persekolahan

Isi 5 :  Pihak kerajaan hendaklah lebih pragmatik dalam memberi pengiktirafan antara sukan dan akademik – markah 10 peratus kokurikulum untuk prasyarat ke IPT adalah tidak wajar kerana boleh menjejaskan minat pelajar berbakat untuk bergiat aktif dalam aktiviti yang bercorak kesukanan

Kesimpulan : Dalam usaha melahirkan generasi akan datang yang lebih trampil dan berdaya saing, kecemerlangan yang seimbang antara fizikal, mental, dan emosi hendaklah diuruskan secara sama rata. Seandainya kalangan akademik dan teknokrat sentiasa dijulang sebagai negarawan,  maka tidak adil hanya Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol dan Pandalela saja yang dilihat sebagai tokoh utama dalam arena sukan. Oleh itu, semua pihak hendaklah mengiktiraf bahawa sukan juga mampu menjadi wadah menjulang imej negara.

3.  Kerajaan menggalakkan rakyat Malaysia menggunakan barangan buatan tempatan.

Huraikan kebaikan-kebaikan menggunakan barangan buatan tempatan.

Pendahuluan :  Peribahasa yang menyatakan ‘hujan emas di negari orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baiklah di negeri sendiri’ mengajarkan kita betapa pentingnya menghargai dan membanggakan apa-apa jua yang menjadi milik kita. Dalam konteks ini, kempen belilah barangan buatan tempatan adalah menjadi wahana penting untuk dihayati dan seterusnya mendapat sambutan tidak berbelah bahagi oleh masyarakat. Kempen dan galakan ini menjadi inisiatif utama kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara yang dipacukan oleh aliran tunai domestik. Sementara itu, dalam beberapa perspektif yang lain, galakan ini turut memberikan impak yang positif kepada masyarakat pengguna dan meningkatkan perkembangan ekonomi negara amnya.

Isi-isi penting :
Isi 1 :  Membantu mempercepat pertumbuhan  dana dalam negara – menyokong pertumbuan Keluaran Dalam Negara Kasar di samping memberi kesan kepada meningkatnya pendapatan perkapita penduduk – dengan kata lain masyarakat memiliki tukaran yang cukup

Isi 2 :  Menyekat aliran tunai ke luar negara – kecairan tunai (modal) hanya berlegar dalam pasaran tempatan – kini, sudah melebihi RM20 bilion wang mengalir keluar kerana mengimport barang-barang makanan – aliran keluar meningkat berlipat ganda sekiranya barangan aksesori, pakaian, peralatan mesin dan jentera yang terpaksa diimport

Isi 3 :  Menyokong kreativiti anak-anak tempatan dalam sektor perniagaan – membantu mempercepat pertumbuhan sektor PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) – pembelian yang meningkat boleh mendorong pengusaha melipatgandakan keluaran di samping kualiti yang turut meningkat

Isi 4 :   Membantu merancakkan sektor perniagaan –perniagaan berkembang dengan lebih pantas apabila pasaran aktif

Isi 5 :  Pengguna memperoleh barangan yang relatifnya lebih murah dengan kualitinya yang setaraf – murah kerana kos produk yang lebih rendah dan berkualiti kerana pemproesan menggunakan teknologi moden dengan piawai ISO 9200

Kesimpulan :  Daripada peribahasa, jauh-jauh seluang melaut akhirnya baliklah ke muara membuktikan bahawa, selama-lama mana pun kita berbangga dengan kelebihan orang lain, namun tidaklah lama kerana akan balik juga kepada asal usul. Hal yang demikian samalah sifatnya apabila kita kesudahannya akan balik kepada cita rasa sendiri walaupun zahirnya sangat berbangga dengan barangan asing. Seyogia berilah sokongan yang tidak bergelah bahagi terhadap galakan membeli barangan tempatan.

MAKLUMAN : Sekiranya soalan berfokuskan isi jawapan tentang langkah-langkah sila rujuk sampel rangka isi di bawah (Ihsan daripada Modul saya Edisi 2012, ms 29)

“Barangan Tempatan Berkualiti Antarabangsa” ialah slogan kerajaan ke arah mencapai standard kualiti antarabangsa.

Bincangkan langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh usahawan tempatan supaya hasrat ini menjadi realiti.

Pendahuluan : Budaya pemikiran kelas pertama, minda berkelas dunia, dan pelbagai slogan yang bersifat global mula berkumandang di persada negara. Hakikatnya dalam arus globalisasi kini, rakyat Malaysia wajarlah mengorak langkah serta bangkit untuk mengimbangi perubahan pantas dunia dalam pelbagai bidang. Bermula daripada cara berfikir, gaya bertindak, berkomunikasi dan seterusnya penghasilan produk, kita sewajarnya mampu bersaing dengan negara-negara maju di dunia. Oleh itu, dalam bidang pengeluaran juga, kita hendaklah mampu menghasilkan barangan tempatan yang mampu mencapai klasifikasi dunia. Keupayaan mencapai kualiti antarabangsa sudah semestinya memberi kita ruang untuk bersaing dalam pasaran global. Oleh hal yang demikian, sudah sampailah masanya, para pedagang kita menganjak minda dan usaha untuk menghasilkan barangan tempatan yang mencapai piawai “Barangan Tempatan Berkualiti Antarabangsa”

Isi 1 : Pengusaha hendaklah sentiasa mengadakan R&D (Penyelidikan dan Pembangunan) terhadap hasil keluaran mereka - mencari pembaharuan dan penambahbaikan produk - agar produk negara boleh mencapai piawai internasional untuk bersaing di pasaran antarabangsa

Isi 2 : Pengusaha hendaklah berusaha memperoleh penarafan keluaran antarabangsa melalui penarafan ISO 9004 - semua barangan keluaran negara berjaya menembusi pasaran global tanpa sebarang sekatan - memenuhi semua standard pengeluaran yang ditetapkan oleh negara maju

Isi 3 : Bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam usaha mencapai standard mutu keluaran Malaysia - merealisasikan jenama Malaysia Best seperti yang dilancarkan oleh Kementerian Pertanian dan Asas Tani - mematuhi semua peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum sesuatu keluaran itu dieksport ke luar negara - memastikan hasil keluaran halal dalam usaha merealisasikan hub halal antarabangsa

Isi 4 : Mengawal mutu keluaran bermula dari peringkat awal hingga barang siap -kawalan dalam aspek ketulenan, kualiti, ketahanan, penggredan dan kebersihan - membolehkan barangan keluaran negara menjadi buruan pelanggan sama ada dalam negara mahupun luar negara

Isi 5 : Mengadakan teknik pembungkusan, pelabelan, penjemaan yang boleh diterima di peringkat antarabangsa - meyakinkan pengguna tentang kandungan produk - barangan lebih bermutu dan tahan lama

Isi 6 : Mewujudkan rakan kongsi strategik di peringkat antarabangsa - untuk memperoleh pemindahan teknologi dan mempertingkatkan mutu keluaran - dapat bersaing dengan keluaran lain di pasaran antarabangsa - dapat merancang pasaran yang strategik di negara-negara maju (Eropah, Timur Tengah, dan Amerika)

Kesimpulan : Sesungguhnya rakyat Malaysia bukanlah tidak mampu bersaing di persada global. Beberapa jenama Malaysia yang telah mula menguasai pasaran antarabangsa seperti barangan elektrik membuktikan bahawa slogan ‘Malaysia Boleh’ berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Oleh itu, inilah masa yang terbaik untuk para pengeluar tempatan mempertingkatkan daya saing mereka.


4.  Malaysia berpotensi untuk menjadi destinasi pelancongan yang terkenal di rantau ini. Sehubungan dengan itu, anda ingin menulis rencana untuk disiarkan dalam akhbar tempatan. Tajuk rencana tersebut ialah, ‘Usaha-usaha Menarik Minat Pelancong Asing Datang ke Malaysia’.

Tulis rencana itu selengkapnya.

Pendahuluan :  Berdasarkan rekod sejarah, rantau Asia Tenggara khususnya Semenanjung Tanah Melayu pernah dijejaki oleh masyarakat antarabangsa sejak ribuan tahun dahulu. Gelaran Semenanjung Emas kepada Tanah Melayu turut mengangkat imej bumi bertuah ini di persada antarabangsa sejak berkurun-kurun lamanya. Walaupun kunjungan masyarakat asing ke rantau ini pada era prapenjajahan bukan atas misi pelancongan, namun jelas sekali, bahawa bumi kita amat dikenali oleh masyarakat antarabangsa. Kelayakan tersebut adalah bersandarkan kekayaan hasil mahsulnya, letak geografinya malah keindahannya sentiasa menggamit pengunjung. Walau bagaimanapun, pada era pascamilenium ini, saingan sengit daripada seluruh rantau, Malaysia telah jatuh ke tangga kesembilan daripada sepuluh negara yang sering dikunjungi di dunia. Oleh itu, langkah strategik dan proaktif hendaklah digemblengkan demi menarik kembali minat pelancong asing datang ke Malaysia.

Isi-isi penting :
Isi 1 :  Memperkasakan potensi tradisional yang sejak lama dimiliki oleh Malaysia – mengembalikan imej daya tarikan ekonya – (hutan rimba, lautan dan sumber marina, gunung-ganang, sungai dan tasik)

Isi 2 :  Merancakkan lagi promosi dan kempen tentang gahnya Malaysia dalam aspek sajian makanan – Malaysia amat terkenal sebagai hub makanan internasional dalam pelbagai cita rasa sesuai dengan pemajmukan masyarakatnya

Isi 3 :  Mengangkat ciri-ciri unik kepelbagaian etnik dengan adat dan budaya – pelancong asing lebih berminat melihat dan merasai keunikan cara hidup sesuatu kaum – kunjungan lebih ramai pelancong Barat ke Sabah dan Sarawak sebagai bukti

Isi 4 :  Melipatgandakan promosi ‘menjualkan nama Malaysia’ dalam program tarikan pelancong secara agresif ke luar negara – perlu dijalankan secara berterusan (tidak sepatutnya ada kempen dalam tempoh tertentu seperti Tahun Melawat Malaysia/negeri tertentu dalam satu-satu masa) – negara-negara maju mengadakan promosi sepanjang masa – promosi dilaksanakan oleh agensi kerajaan, swasta, syarikat penerbangan dan pelajar-pelajar Malaysia di luar negara

Isi 5 :  Sokongan daripada pihak swasta – kejayaan sesuatu produk/perniagaan berkait rapat dengan sektor pelancongan – kerajaan perlu mendapat kerjasama daripada pihak swasta dalam semua usaha menarik kunjungan pelancong

Kesimpulan :  Sesungguhnya, keinginan untuk berprawisata dan memperluas pandangan serta minda telah tertanam dalam minda manusia sejak zaman awal lagi. Oleh itu, mana-mana negara dan kerajaan yang mengambil peluang  merancakkan program pelancongan sebagai agenda  ekonomi negara sudah pasti memperoleh keuntungan. Atas potensi dan kelebihan yang ada, Malaysia sewajarnya merebut peluang yang sudah terhidang.


5.  Perwatakan utama dalam sebuah novel yang telah anda baca banyak mengandungi keistimewaan yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan.

Bincangkan.
SELANGOR

1.  Keluarga, rakan sebaya, dan pendidikan agama dan moral memainkan peranan penting dalam kehidupan seseorang remaja.

Berikan pendapat anda tentang pernyataan tersebut.

Pendahuluan : Setiap orang pasti berkata, “Saya ada prinsip sendiri dalam membuat sebarang keputusan”. Prinsip merupakan lambang kepada personaliti seseorang untuk membolehkan ia dihormati. Prinsip pula sering dikaitkan dengan upaya individu itu mempertahankan nilai-nilai peribadi yang terbentuk daripada asuhan keluarga, pemilihan rakan sebaya, dan pendidikan agama serta moral yang dipegang dengan kuat. Kuat atau lemah jati diri seseorang adalah bergantung sama ada kuat atau lemah ia berpegang kepada formula intipati peribadi seperti yang tersebut.

Isi-isi penting :
Isi 1 :  Keluarga sebagai bayangan peribadi seseorang – kaitan dengan peribahasa, benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau – kalau asal keluarga yang baik nescaya individu berkenaan pun akan baik

Isi 2 :  Rakan sebaya menjadi alam atau habitat yang membentuk individu – prinsip hidup amat berkait rapat dengan falsafah atau anutan kelompok (kawan-kawan) yang digauli – peribahasa, apabila kamu bersahabat dengan penjual minyak wangi nescaya aroma kasturinya akan mengenaimu, sebaliknya apabila bersahabat dengan tukang besi nescaya tengik besi akan melekat pada dirimu

Isi 3 :  Pendidikan sebagai agen pengubah personaliti dan hala tuju manusia – pendidikan memiliki kuasa dan tangan ghaib yang dapat mengubah seseorang daripada buruk kepada yang lebih atau sebaliknya

Isi 4 :  Agama sebagai enjin atau kuasa dalaman yang menggerakkan individu menjadi insan yang sempurna – menjadi pelengkap, pengemas, dan penyantun individu – agama menjadi pengawal peribadi yang terus menghubungkan manusia dengan kuasa khaliq (Tuhan) – insan lebih terikat dengan pelbagai doktrin (peraturan) apabila agamanya mantap

Isi 5 :  Moral menjadi alat penyantun manusia – nilai peribadi manusia terserlah dengan sendirinya oleh tinggi atau rendah nilai moral yang dianutinya – moral banyak membentuk manusia menghayati nilai-nilai murni keinsanan

Kesimpulan :  Peribahasa yang menyatakan, dari telaga yang jernih, takkan mengalir air yang keruh menerangkan bahawa, sifat peribadi dan hati nurani yang baik tidak lahir pekerti yang keji. Oleh itu, pancaran hati nurani sudah pasti lahir daripada prinsip yang dibina oleh nilai-nilai teras seperti keluarga, rakan sebaya, dan pendidikan agama dan moral


2.  Kebanyakan anak hari ini berdepan dengan pelbagai masalah. Sehubungan dengan itu, anda ingin menulis rencana untuk disiarkan dalam akhbar tempatan. Tajuk rencana tersebut ialah “Peranan Keluarga dalam Membantu Anak-anak Mengatasi Masalah”.

Tulis rencana itu selengkapnya.

MAKLUMAN : Soalan ini mempunyai persamaan dengan soalan 2 negeri Pahang. Sila rujuk


3.  Penggunaan telefon bimbit dalam kalangan masyarakat pada masa ini semakin popular kerana banyak memberikan kemudahan kepada penggunanya.

Huraikan kesan-kesan penggunaan telefon bimbit kepada masyarakat.

Pendahuluan :  Pada hari ini seseorang ibu dengan segera dapat menghilangkan rasa rindu terhadap anak kesayangan yang tinggal berjauhan ribuan kilometer. Demikian pula seorang kekasih dapat melampiaskan rawan hiba kepada yang tersayang dengan saling menyatakan janji setia dan menyulam kasih. Malahan kuasa maklumat kini mampu diterjemahkan dalam bentuk audio dan visual melalui perantara teknologi 3G. Sebenarnya, semua peranti tersebut dikuasakan oleh teknologi telefon bimbit yang amat canggih dan mampu bergerak seiring dengan kemajuan teknologi siber. Oleh itu, kewujudan telefon bimbit bukan lagi sebagai lambang gaya hidup, malahan menjadi kemestian kepada setiap individu. Kewujudannya walaupun dianggap sebagai suatu rahmat dalam gaya hidup era milenium, namum tetap memberikan pelbagai impak kepada masyarakat.



Isi-isi penting :

Positif :
Isi 1 :  Membentuk transformasi gaya hidup yang lebih moden dan sofistikated – keperluan terhadap teknologi semakin bertambah dan urusan harian semakin mudah

Isi 2 :  Mempercepat sistem komunikasi dan menyampaikan maklumat yang tepat – kejayaan yang amat luar biasa dalam revolusi teknologi maklumat – kata-kata ‘dunia semakin sempit’ amat bertepatan dengan kewujudan telefon bimbit

Isi 3 :  Memperluas jalinan/jaringan sosial – berlaku transformasi gaya hidup apabila jalinan rangkaian kenalan melangkaui batas geografi dan batas etnik mahupun keluarga – meletakkan insan di dunia sebagai sama taraf

Negatif
Isi 4 :  Pembaziran dalam aspek ekonomi dan masa – peningkatan drastik teknologi telefon bimbit memaksa masyarakat berlumba-lumba memperolehinya – pembaziran wang semata-mata untuk ‘kepuasan’ air liur dan telinga – masa banyak terbuang (golongan pelajar dan remaja yang banyak terbabit)

Isi 5 :  Masyarakat (pengguna) semakin terdedah kepada gejala fitnah dan adu domba – maklumat palsu dan memburuk-burukkan peribadi orang menjadi ‘budaya’ dalam masyarakat moden

Isi 6 :  Generasi Y sebagai mangsa teknologi – masih mentah untuk mencari manfaat daripada mudarat – tersepit antara kecanggihan teknologi dengan kemerosotan nilai moral, etika dan nilai agama

Kesimpulan :  Sesungguhnya, revolusi telefon bimbit telah banyak mengubah transformasi dunia, namun masyarakat terpaksa membayar harga yang sangat mahal di sebalik kecanggihan teknologinya. Harga sama ada ekonomi, moral, mahupun keselamatan menjadi sangat mahal pada hari ini kerana ancaman berterusan daripada penggunaannya. Oleh itu, masyarakat pengguna hendaklah bijak dan berfikiran terbuka dalam mengendalikan sesuatu yang mempunyai kemungkinan sama rata antara positif dan negatifnya.


4.  Pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam memajukan sesebuah negara.

Huraikan kerjasama Malaysia dengan negara-negara dunia dalam meningkatkan mutu pendidikan negara.

MAKLUMAN : Merit soalan ini sama dengan Pulau Pinang. Sila rujuk


5.  anda telah terpilih untuk mengulas sebuah novel yang bertemakan kegigihan sempena pelancaran program NILAM.

Tulis ulasan novel tersebut dengan lengkap.

MAKLUMAN :  Tiada rangka isi disediakan untuk soalan ini – (harap maaf)


PAHANG

1.  Kemahiran menguasai pelbagai bahasa sangat penting untuk memudahkan komunikasi antara satu sama lain.

Sehubungan dengan itu, jelaskan kepentingan   penguasaan bahasa asing dalam kalangan pelajar.

Pendahuluan : Mafhum daripada sepotong ayat al-Quran yang bermaksud, “Sesungguhnya aku jadikan manusia dalam berbagai-bagai bangsa dan bahasa agar mereka saling berkenal-kenalan dan bertolong bantu. Perbezaan bangsa dan bahasa bukanlah alasan untuk memisahkan manusia. Sepatutnya manusia memanfaatkan peluang untuk mendalami ilmu dengan menguasai pelbagai bahasa. Pelbagai bahasa wujud di dunia ini seperti bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Arab, bahasa Ibrani, bahasa Mandarin, bahasa Jepun, bahasa Korea dan bahasa-bahasa yang berasaskan etnik wujud di seantero pelosok alam. Dengan hal yang demikian, amatlah wajar rakyat Malaysia mengambil peluang untuk mempelajari pelbagai bahasa.


Isi-isi penting :
Isi 1:    Bahasa merupakan unsur yang global dan universal - untuk melihat kebesaran Yang Maha Pencipta – (Maksud ayat al-Quran, “Aku jadikan manusia daripada berbagai-bagai bangsa dan bersuku-suku dengan pelbagai bahasa agar mereka dapat berkenal-kenalan antara satu sama lain) – melahirkan insan yang tahu bersyukur

Isi 2:    Sebagai medium mencari dan menggali khazanah ilmu yang dimiliki oleh pelbagai bangsa - setiap bangsa memiliki keistimewaan tersendiri (bangsa Eropah dengan kemajuan teknologi, bangsa Cina dengan tamadun perubatan herba/tradisional, bangsa Jepun dengan kecanggihan ilmu dan teknologi dan bangsa Arab dengan pembinaan budaya, kesenian, seni bina dan falsafah – pengetahuan terhadap bahasa asing membantu seseorang mempelajari pelbagai ilmu

Isi 3 :  Mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga dunia - mengeratkan hubungan diplomatik antara negara - mengelak salah faham dan wujud hubungan saling menghormati - dapat bertukar-tukar ilmu, teknologi, kebudayaan dan falsafah

Isi 4 :   Mudah untuk berhijrah dan berkomunikasi dengan seluruh bangsa di dunia -dapat meneroka alam sejagat yang wujud di seluruh dunia – mewujudkan jaringan rakan dan kenalan di seluruh dunia - medium terbaik dalam usaha menuntut ilmu dan mengenali budaya masyarakat global
Kesimpulan :  Berpandukan kata-kata peribahasa, air banyak ikan tidak mati membuktikan bahawa, apabila banyak khazanah yang kita peroleh banyak pula perkara yang boleh kita lakukan. Demikianlah dengan pengayaan pelbagai bahasa sudah pasti menolong kita untuk menggali segala khazanah ilmu. Dengan yang demikian, jadikanlah usaha memperluas pengetahuan tentang pelbagai bahasa sebagai langkah untuk kita bangun bersaing di peringkat global.


2.  Remaja bersahsiah mulia mampu membangunkan sesebuah negara. Oleh sebab itu, ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk  sahsiah murni anak-anak mereka.

Bincangkan.
Pendahuluan : Peribahasa Melayu menyatakan kenal getah batang lihatlah daunnya. Peribahasa tersebut menjelaskan bahawa tingkah laku dan latar belakang ibu bapa akan menentukan hala tuju anak-anak. Baik ibu bapa, justeru baiklah anak-anak. Oleh itu, prakarsa mendidik amat bergantung kepada wibawa ibu bapa sebagai arkitek prima yang bermula dari rumah.

Isi 1 :   Menjanakan personaliti anak-anak sebagai insan yang beriman dan berakhlak –insan yang mulia terjana daripada kesempurnaan iman, akhlak dan akal budi yang harmoni – ibu bapa perlu menentukan hala tuju sikap dan gaya pemikiran anak-anak bermula – menjadi role model - tingkah laku positif atau negatif ibu menjadi ikutan anak-anak (seperti acuan begitulah kuihnya).

Isi 2 :   Memupuk cita-cita dan wawasan secara positif – anak-anak lebih bersedia untuk menghadapi masa depan dan dapat berdikari – memberi galakan dan menyuburkan minat anak-anak berdasarkan potensi diri

Isi 3 :   Merancangkan pendidikan dan memperkasakan ilmu untuk anak-anak –mengenal pasti bidang pendidikan yang sesuai dengan potensi dan minat anak-anak – berfikiran positif dan membantu anak-anak memilih bidang kerjaya yang sesuai

Isi 4 :   Menyelami dan mendalami perasaan dan emosi anak-anak secara berhemah –usia remaja menjadi tempoh paling kritikal – pelbagai gangguan emosi dihidapi anak-anak remaja – ibu bapa menjadi sahabat, kaunselor dan pendengar setia terhadap sebarang masalah mental dan emosi anak-anak – membantu anak-anak berfikiran positif dan harmoni

Isi 5 :  Membangunkan nilai-nilai sahsiah dan nilai murni anak-anak – bertanggungjawab untuk membina persekitaran sosial dan jaringan kejiranan yang baik – belajar menghormati jiran, menghargai golongan yang lebih tua dan berpengalaman, setia kawan dan bertanggungjawab – melahirkan sebuah komuniti yang selamat dan riang

Kesimpulan :    Keluarga pasti menjadi nukleus utama untuk anak-anak. Keluarga merupakan institusi tertua yang menentukan arah dan hala tuju seseorang. Oleh itu, keluarga yang harmoni pasti menjanakan kejayaan yang cemerlang terhadap anak-anak. Ingatlah daripada kata-kata peribahasa, ke manakah tumpahnya kuah jikalau tidak ke nasi.


3.  Anda merupakan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) diminta menyampaikan sebuah ceramah kepada belia-belia   di tempat anda. Tajuk ceramah tersebut ialah “Usaha-usaha Kerajaan dalam   Melahirkan Masyarakat Berjimat Cermat”.

Sediakan teks ceramah tersebut selengkapnya.

Pendahuluan : Dalam sejarah tamadun dunia, kita telah belajar tentang pelbagai peristiwa pahit dan manis rakyat menjalani kehidupan. Pernah diberitakan, rakyat pernah mengecapi kenikmatan hidup semasa pemerintahan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz yang sangat adil lagi telus dalam urusan pentadbiran negara. Kecemerlangan yang dicapai sehinggakan Baitul Mal negara sentiasa penuh kerana tiada rakyat yang layak menerima zakat. Kegemilangan yang sama turut dikecapi oleh rakyat Mesir semasa Nabi Yusuf menjadi Menteri Ekonomi. Dua contoh yang tersebut adalah sebahagian daripada beberapa kejayaan pemerintah yang lain sejak zaman prasejarah hinggalah era milenium ini. Sesungguhnya, dalam apa-apa kapasiti pun, kejayaan sesebuah negara adalah bermula daripada kebijaksanaan pemimpin merancang pelan strategik negara melalui agenda berjimat cermat.

Isi-isi penting :

Isi 1 :  Meuar-uarkan kempen penjimatan secara berterusan dan tersusun – usaha untuk menyedarkan rakyat suoaya tidak membazir – kempen penjimatan tenaga elektrik, air dan bahan makanan – amalan berbelanja secara berhemah

Isi 2 :  Melipatgandakan kempen supaya rakyat membeli barangan buatan Malaysia – langkah penjimatan tepat, harga murah b arang bermutu) – langkah serampang dua mata, selain berjimat dapat sokong IKS

Isi 3 :  Galakan usaha menabung – mengelak daripada berbelanja yang tidak perlu – inisiatif kerajaan melancarkan pelbagai dana dan saham amanah (ASNB, AS1M, tabungan koperasi, pembelian insurans)

Isi 4 :  Kempen penjimatan bahan-bahan makanan dan utiliti – untuk mengurangkan kos perbelanjaan harian dan mengamalkan gaya hidup sihat (kempen kurangkan gula, kurangkan penggunaan minyak masak dan penjimatan petrol)

Isi 5 :  Melancarkan skim khidmat sokongan – membantu golongan yang berpendalatan rendah – KR1M, BR1M, dan Restoran 1 Malaysia – langkah membantu rakyat agar tidak tertekan dan terpaksa berhutang

Kesimpulan :  Hukum ingat sementara belum kena dan jimat sementara belum habis hendaklah dijadikan amalan dan ‘Hadith’ Melayu agar dapat mendidik manusia supaya beringat dan berwaspada dalam apa-apa situasi sekalipun. Sudah lumrah, malang tidak berbau dan geruh tidak berbunyi yang sepatutnya kita hayati supaya sentiasa membuat persediaan agar tidak dilanda malapetaka. Janganlah sudah terkena baharu hendak beringat-ingat, bak sudah terhantuk baharu hendak menengadah.


4.  Negara-negara di dunia hari ini menghadapi masalah pemerdagangan manusia yang semakin membimbangkan.

Jelaskan  tindakan-tindakan berkesan bagi membendung kegiatan tersebut daripada
berleluasa.

Pendahuluan :  Perubahan dunia alaf baru telah mula membentuk suatu fenomena tentang pola migrasi manusia. Peperangan, kemiskinan, dan bencana alam telah mula mengubah landskap dunia apabila migrasi gelombang kedua semakin mengancam kestabilan politik dan sosial di beberapa buah wilayah di dunia. Pola tersebut ialah sindiket pemerdagangan manusia yang ditunjangi oleh rangkaian penjenayah antarabangsa yang turut dikenali sebagai tekong laut dan tekong darat. Kesan daripada jenayah tersebut menimbulkan krisis kemanusiaan yang teruk apabila manusia dengan sewenang-wenangnya dijadikan bahan dagangan demi mengaut keuntungan yang berlipat ganda. Sementara itu, negara yang menjadi transit dan negara penerima turut mengalami masalah sama ada dalam aspek politik, demografi, ekonomi, dan sosial. Sebagai salah sebuah negara transit dan juga penerima, Malaysia tidak wajar berpeluk tubuh dan wajar menjalinkan kerjasama strategik dengan negara-negara jiran agar jenayah yang tidak berperikemanusiaan ini dibendung dengan sebaik mungkin.


Isi 1 : Memperkukuh sistem politik dan keamanan dalam negara masing-masing – kestabilan dalam negeri boleh menjadi aset untuk menghalang kemasukan warga asing dengan sewenang-wenangnya

Isi 2 : Membanteras gejala rasuah yang masih berleluasa dalam kalangan negara-negara dunia ketiga – berusaha mengurangkan indeks rasuah terutama dalam kalangan penguatkuasa seperti polis, tentera, dan pengawal pintu masuk perairan negara (peribahasa amalan buruk lontar batu sembunyi tangan)

Isi 3 : Mengadakan kerjasama rondaan dalam kalangan negara berjiran – mencegah kemasukan warga asing sacara haram – kedudukan Malaysia dengan negara jiran terutama Indonesia yang kondusif kepada kemasukan pendatang asing tanpa izin (hidup berjiran, ibarat aur dengan tebing)

Isi 5 : Komitmen diplomatik yang jujur dalam kalangan pemimpin negara – pertelagahan politik memberi laluan mudah untuk orang lain mengambil kesempatan (peribahasa jong pecah yu yang kenyang)

Kesimpulan : Gejala pemerdagangan manusia merupakan sebahagian daripada krisis kemanusiaan sejak zaman-berzaman. Yang berbeza dari masa ke masa hanya modus operandinya sahaja. Oleh itu, penyelesaian secara global dan serantau hendaklah diteruskan agar landskap politik dunia dan wilayah tidak terancam oleh sikap dan amalan manusia yang bersikap pepat di luar runcing di dalam.

MAKLUMAN : Memandangkan soalan ini begitu popular dan berada dalam perhatian, saya sedang dalam proses menyediakan sampel lengkap yang akan dimuatkan dalam blog saya. Teruskan melayari blog saya dari semasa ke semasa


5.       Remaja amat mahal
sesungguhnya
tiada terbeli oleh perjanjian
harga remaja adalah
pendirian
keberanian dan ilmu.

Berdasarkan petikan sajak ‘Harga Remaja’ di atas, terangkan kepentingan menjaga
maruah diri sendiri.

MAKLUMAN : Tiada rangka isi disediakan untuk soalan ini – (harap maaf)


TERENGGANU

1.  Anda telah menyertai program motivasi yang telah dianjurkan oleh pihak sekolah. Pelbagai aktiviti telah diadakan.

Jelaskan aktiviti program yang telah menimbulkan kesedaran dalam diri anda untuk terus berjaya.

Pendahuluan : Banyak orang berpendapat, usia remaja ialah tempoh emas untuk menentukan hala tuju seseorang itu. Sama ada masa depan seseorang itu berjaya atau gagal bergantunglah kepada kebijaksanaan merancang dan mengisi ruang masa dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah. Banyak kegiatan yang boleh dimanfaatkan seperti mengunjungi pusat sumber, lawatan sambil belajar, dan menghadiri kelas tuisyen. Belakangan ini banyak pihak yang mengambil peluang menganjurkan pelbagai kem dan kursus pendek dalam masa cuti. Kem-kem seperti itu amat relevan untuk membentuk sahsiah remaja sama ada dalam aspek pengayaan minda mahupun keseimbangan emosi. Peluang tersebut turut saya ambil untuk memanfaatkan cuti hujung tahun yang agak panjang. Sesungguhnyadi luar pengetahuan,  saya telah memperoleh pelbagai input baru dalam usaha membangunkan jati diri yang dapat pula saya kongsikan dengan rakan-rakan sebaya.

Isi-isi penting :

Isi 1 : Memberi peluang memperluas jalinan rakan-rakan dan kenalan baru – berkenalan dengan rakan-rakan sebaya daripada pelbagai lapisan (remaja dari desa, bandar, kaya dan miskin) – berkongsi pengalaman tentang corak hidup, budaya, dan cara berfikir (sesuai dengan peribahasa, jauh berjalan luas pandangan, lama hidup banyak pengalaman, dan ramai kawan luas pengetahuan)

Isi 2 : Memanfaatkan masa dengan sebaik-baiknya – menggantikan rutin harian yang biasa seperti tidur, berehat dan menonton TV dengan aktiviti yang berfaedah – setiap saat yang berjalan cukup bermanfaat – faham tentang perancangan masa yang berkesan

Isi 3 : Dapat mengikuti modul latihan yang padat – modul latihan dirancang secara teliti ( meliputi aspek ketahanan minda, latihan jasmani, semangat berpasukan, dan pengetahuan am ( berkaitan sejarah negara, hubungan Malaysia di peringkat antarabangsa) – modul kerohanian (latihan tadarus al Quran, solat berjemaah, solat malam, dan kuliah agama)

Isi 4 : Sangat mencabar ketahanan fizikal dan mental – modul latihan fizikal yang lasak (senaman pagi, kawad kaki, treking, dan merentas halangan) – modul latihan mental (penyelesaian masalah, membaca arah, dan bermuhasabah)

Isi 5 : Berjaya membina keyakinan diri – berasa seolah-olah dilahirkan semula dalam sebuah dunia yang baharu – berjaya memupuk kekuatan minda, lebih bersemangat, dan yakin untuk mencapai matlamat  - memperoleh emosi yang tenang dan selalu bertawakal kepada Tuhan

Kesimpulan : Selepas seminggu berada dalam kem yang dianggap oleh sesetengah peserta sebagai penjara terhormat, saya bermuhasabah semula tentang hakikat diri. Sesungguhnya, setiap insan yang diciptakan telah disertakan dengan potensi yang tertentu. Namun demikian, kegagalan kita memanfaatkan potensi yang ada boleh menyebabkan ramai orang yang gagal di pertengahan jalan. Oleh itu, setiap potensi hendaklah digilap melalui kursus dan kem seperti yang saya hadiri. Yakinlah, “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itulah yang mengubahnya” (maksud al Quran).


2.  Pengukuhan institusi keluarga merupakan tunjang utama dalam membina keluarga bahagia.

Huraikan peranan ahli keluarga dalam merealisasikan institusi keluarga bahagia.

Pendahuluan : “Air dicencang tidak akan putus, dan carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum semula”. Dua ungkapan daripada peribahasa Melayu itu menjelaskan kepada kita bahawa hubungan rapat  yang berpaksikan darah daging tidak akan dapat dileraikan. Walaupun pernah terpisah akibat salah faham, namun perpecahan tersebut tidak akan ke mana-mana malah akan bercantum semula. Menghayati isi kandung daripada pengajaran peribahasa tersebut, jelaslah kepada kita bahawa tugas membentuk keluarga yang bahagia adalah menjadi tanggungjawab semua anggota dalam keluarga.

Isi 1 :   Sentiasa mengutamakan jalinan kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga -keluarga sebagai punca utama lahirnya kehidupan yang bahagia - tidak bersikap mementingkan diri sendiri - mengelak sebarang salah faham - mengambil pendekatan bermusyawarah dalam menyelesaikan sesuatu pertikaian

Isi 2 :   Menjadi contoh teladan dan sumber inspirasi - setiap ahli keluarga yang sudah besar dan berjaya sama ada dalam pelajaran atau kerjaya hendaklah menunjukkan contoh teladan yang baik dengan membimbing dan memandu adik-adik untuk berjaya terutama dalam pelajaran

isi 3 :   Menyokong keluarga dalam bentuk material dan moral - tidak boleh bersikap mementingkan diri sendiri - meringankan bebanan ibu bapa untuk menanggung keluarga - sebagai langkah membalas budi ibu bapa/tidak bersikap seperti kacang lupakan kulit

Isi 4 :   Menjalinkan hubungan yang erat dengan keluarga induk walaupun selepas berkahwin - tidak terputus silaturahim dengan keluarga - membawa sokongan sama ada dalam bentuk material mahu pun khususnya untuk adik-adik yangmasih belajar

Isi 5 :  

Kesimpulan :  Berdasarkan maksud sepotong ayat al-Quran dalam Surah Ali Imron yang bermaksud, : Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah. Dan perpeganglah kamu kepada tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah. Ingatlah akan nikmat Allah kepada kamu dengan sebanyak-banyaknya. Justeru, amatlah penting kita mengamalkan sikap menjalinkan silaturahim dan membentuk sebuah keluarga yang bahagia.


3.  Dalam usaha menggalak dan mencungkil potensi murid dalam bidang sukan, Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperkenalkan dasar 1 Murid 1 Sukan untuk dilaksanakan di semua sekolah. Sehubungan dengan itu, anda ingin menulis rencana untuk diterbitkan dalam majalah sekolah bertajuk “Faedah-faedah Pelaksanaan Dasar 1 Murid 1 Sukan di Sekolah”.

Tulis rencana itu selengkapnya.

MAKLUMAN : Rujuk sampel yang telah dibekalkan dalam negeri Pulau Pinang


4.  Kesepakatan dan perpaduan dalam kalangan pemimpin dan rakyat antarabangsa mampu mewujudkan keamanan dan kemakmuran masyarakat dunia.

Ulaskan pernyataan di atas.

Pendahuluan:  Ibarat hidup sandar-menyandar bagai aur dengan tebing. Demikianlah hidup kita yang saling memerlukan antara satu dengan yang lain. Kita tidak boleh hidup bersendirian bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Banyak perkara yang kita perlu kepada sokongan orang lain. Tuhan juga telah berfirman dengan maksudnya, “Aku jadikan manusia daripada bersuku-suku dan berbangsa-bangsa agar mereka saling mengenali dan bertolong bantu.” Oleh hal yang demikian, demi keamanan dan kemakmuran masyarakat sejagat, sama ada pemimpin mahupun rakyat hendaklah mengambil inisiatif untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan seluruh warga dunia tanpa memilih perbezaan pendapat, ideologi, bangsa, dan agama.

Isi-isi penting :

Isi 1: Memperluas jalinan hubungan diplomatik dalam dasar luar negara – menjalinkan persefahaman dan hubungan bilateral dan multilateral (hubungan dua hala dan pelbagai hala) dengan kerajaan di seluruh dunia – amalan saling mengiktiraf sebagai negara yang berdaulat dan merdeka - mengelak perasaan curiga dan prejudis dalam kalangan masyarakat dunia

Isi 2: Mewujudkan jalinan sosial, ilmu, dan budaya di peringkat global – boleh mewujudkan hub pendidikan global - mengeksport dan mengimport sumber maklumat dan ilmu pengetahuan melalui jaringan kerjasama di bawah badan dunia seperti UNESCO - mengenali cara hidup budaya dan adat resam pelbagai masyarakat dunia - menjalinkan persefahaman melalui misi sukan, kerja amal, dan sumbangan kemanusiaan

Isi 3: Mewujudkan rangkaian ekonomi dan perdagangan global - memperluas pasaran di peringkat global - memperkenalkan produk masing-masing di pasaran antarabangsa – menjalinkan hubungan dagang dan memperluas pasaran global

Isi 4: Mewujudkan jaringan serantau dan antarabangsa - mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti antarabangsa – persidangan tentang siasah, ekonomi, sosial, dan keamanan - menjaga kebajikan negara-negara serumpun dan serantau (ASEAN), negara-negara merdeka (KOMANWEL), kebudayaan (OIC), dan dunia (PBB)

Isi 5: Memenuhi tanggungjawab sosial untuk hidup sebagai warga dunia yang bersatu padu - menghormati hak asasi manusia untuk hidup bebas, berdaulat, dan diiktiraf - tidak bersikap mementingkan diri – memperoleh pengiktirafan oleh masyarakat dunia - memperluas sistem rangkaian maklumat global dalam jalinan maklumat siber

Kesimplulan :  Dalam abad milenium ini, umat manusia tidak harus terkongkong dalam belenggu katak di bawah tempurung. Kita tidak boleh lagi hidup bersendirian kerana sebarang gerak geri kita sentiasa diperhati oleh masyarakat luar. Daripada kita dianggap sebagai bangsa yang tidak mesra masyarakat dunia dan disisihkan dalam pelbagai agenda lebih baik kita memberi sumbangan sedaya yang mampu. Kita harus berbakti kepada masyarakat dunia sekadar yang upaya bak kata peribahasa sedikit tanda ingat, banyak tanda ada.

5.  Komponen Sastera (KOMSAS) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu menerapkan nilai-nilai murni yang dapat dijadikan  pedoman dalam kehidupan oleh generasi muda pada hari ini.

Berikan pendapat anda.

Pendahuluan : Apabila selesai membaca sesebuah novel mahupun menonton sesebuah drama, seseorang itu mula berfikir tentang apakah unsur-unsur istimewa yang terbit daripada cerita tersebut? Selain terpikat dengan episod dan aksi watak yang hebat, unsur nilai dan pengajaran sudah pasti akan menyerap secara perlahan-perlahan ke dalam benak dan minda pembaca. Tidak dinafikan bahawa nilai kemanusiaan adalah antara sumber yang menjadi kekuatan kepada binaan sesebuah karya sastera. Hal tersebut dapat saya bincangkan berdasarkan novel Kembara Amira yang amat padat dengan unsur-unsur nilai kemanusiaannya. (masukkan judul novel yang anda pernah baca).

Isi-isi penting :

Isi 1 : Nilai patriotik – suatu sikap yang dapat mengangkat rasa tanggungjawab masyarakat atau rakyat di sesuatu tempat/negara – nilai patriotik yang diitunjukkan oleh masyarakat orang asli dalam mempertahankan ketulenan dan keaslian budaya dan alam sekitar mereka.

Isi 2 : Nilai kasih sayang – suatu nilai yang luasnya ibarat lautan yang tidak bertepi – kasih sayang terhadap darah daging sendiri, kasih sayang demi sahabat yang sejati, dan jiwa yang musnah akibat terpisah daripada kasih sayang – boleh dilihat dalam konteks hubungan Dr Zaidah dan Amira, antara Amira dan Jacintha serta antara Tau dengan anak dan isterinya yang dipisahkan

Isi 3 :  Nilai bekerjasma – merupakan nilai yang terpahat demi menzahirkan suatu kejayaan dalam sebarang usaha – komitmen yang tinggi dalam kalangan anggota – kerjasama yang jitu daripada kumpulan ekskavasi Bukit Mat Raya yang berjaya menemui karpus tulang manusia – kerjasama yang akhirnya berjaya menghalang operasi menggali emas sehingga boleh memupuskan masyarakat orang asli dan seluruh budaya mereka

Isi 4 : Nilai keberanian dan jati diri – sikap yang terpahat dalam diri anak muda yang mahu meneroka sesuatu yang baru dan mencabar – Amira, Jacinta, dan Itai

Isi 5 : Nilai bekerjasama dan saling menyokong – lambang kepada kejayaan ekspedisi dan ekskavasi – hubungan rapat dan saling menyokong antara golongan elit dan masyarakat setempat – memberi isyarat bahawa kejayaan akan tercapai apabila ada sokongan dan kerjasama – saling membantu dan menyokong antara masyarakat asli dengan kumpulan pengkaji dari universiti.

Kesimpulan : Nilai kemanusiaan adalah aset yang boleh dijadikan sumber didaktik yang disemai secara halus dan tersirat. Oleh hal yang demikian, sebagai pembaca yang bijaksana, unsur-unsur nilai hendaklah dijadikan panduan dan pedoman untuk membuat koreksi diri. Moga-moga apa-apa yang ditelusuri lewat karya yang dibaca mampu mengimpakkan natijah yang sangat berharga.


KELANTAN

1.  Remaja kini berdepan dengan pelbagai tekanan dalam usaha memenuhi keinginan ibu bapa dan guru untuk menjadi pelajar yang cemerlang.  Tekanan yang dihadapi telah menyebabkan ada segelintir remaja mengambil tindakan tidak sesuai.

Jelaskan usaha-usaha yang perlu anda lakukan untuk menangani tekanan.

Pendahuluan : ‘Lulus cemerlang dengan 10A+’, ‘Pergi Tuisyen’, ‘Masuk Kelas Qiraati atau belajar berenang’, dan ‘Masuk Summer Camp’ adalah antara ungkapan yang sudah basah di mulut para ibu bapa. Sebaliknya, ungkapan yang sama pula sudah menjadi mangli dan alergi kepada anak-anak. Antara anak-anak dan ibu bapa, malah guru juga kadang-kadang sudah tidak sealiran sekalipun berada dalam laras matlamat yang sama. Keinginan yang melampau dan impian tinggi menggunung oleh ibu bapa telah meninggalkan kesan fobia dan trauma dalam kalangan anak-anak. Mujurlah bagi yang berupaya, mereka dapat memenuhi hasrat ibu bapa, sebaliknya kepada yang kurang timbullah pelbagai kesan stres dan kemurungan. Bagi diri saya, isu ini ibarat ditelan mati bapa diluah mati emak kerana hakikatnya semua adalah penting. Oleh itu, saya memerlukan beberapa strategi yang berhemat untuk mengimbangi kedua-duanya.

Isi-isi penting :

Isi 1 : Bersedia lebih awal – menjadikan agenda belajar mengatasi segala yang lain – cuba menuruti ikon-ikon cemerlang sebagai sumber rujukan

Isi 2 : Bawa berbincang dengan ibu bapa dan guru – jelaskan keupayaan sebenar kepada mereka – dapatkan bimbingan dan motivasi

Isi 3 : Mesti jelas matlamat dan hala tuju – cita-cita hendaklah diukur kepada minat dan kemampuan diri

Isi 4 : Bertemu guru-guru kaunseling – mereka mempunyai kelayakan untuk membuat konsultasi – kemukakan segala masalah yang terbuku di hati

Isi 5 : Banyak berdoa dan bermuhasabah diri – tidak melupai Tuhan yang sentiasa memberikan taufiq dan hidayah-Nya.

Kesimpulan : Memetik kata-kata dalam pepatah Arab, bahawa setiap penyakit ada ubatnya, jelas menunjukkan kita tidak boleh tenggelam punca dalam menangani sebarang masalah. Kita wajar berlapang dada dan dingin kepala untuk mencari langkah penyelesaian. Kebijaksanaan bukan terletak kepada jumlah A yang dikutip tetapi bijaksana dalam menguruskan diri umpama, sesat di hujung jalan baliklah ke pangkal jalan.


2.  Banyak pendapat mengatakan masalah sosial dalam kalangan remaja berkaitan dengan keruntuhan institusi keluarga.

Jelaskan peranan keluarga bagi menangani masalah sosial dalam kalangan remaja pada masa ini.

Pendahuluan:  Gejala perbuatan sumbang antara remaja lelaki dan perempuan, ketagihan dadah, kemaruk hiburan, mat rempit, dan pelbagai ragam kemacetan remaja lagi sedang terpampang di hadapan mata kita. Pusat-pusat hiburan dan pusat beli-belah telah ‘ditakluki’ oleh golongan yang rosak akhlak terutama sekali pada waktu hujung minggu. Naik jeluak pada fikiran kita apabila melihat aksi remaja yang tidak segan melakukan aksi sumbang di tengah-tengah khalayak ramai itu. Apabila keadaan ini sudah semakin kronik, pelbagai pihak mula menuding jari antara satu sama lain. Masing-masing saling menuduh tentang angkara siapakah yang menyebabkan gejala ini semakin sukar dibendung?  Jawapan kepada krisis ini, banyak pihak berpendapat, institusi keluarga masih diyakini memiliki kewibawaan untuk menanganinya.

Isi-isi penting :

Isi 1 :   Memperkasakan semula institusi keluarga - banyak institusi keluarga yang longgar, goyah, dan bermasalah - kurang persefahaman dan bersikap saling mementingkan diri sendiri - pengendali keluarga perlu faham akan fungsi masing-masing - anak-anak akan berasa lebih selamat untuk berada di rumah dan terselamat daripada gejala moral

Isi 2 :   Ibu bapa dan anggota keluarga sering mengambil tahu masalah - perlu lebih banyak berinteraksi dengan anak-anak terutama apabila mereka meningkat remaja - mesti menjadi jururunding profesional kepada masalah anak-anak

Isi 3 :   Menyediakan keperluan asas yang sewajarnya kepada anak-anak – menjadi tempat mengadu anak-anak - peka terhadap keperluan asas anak-anak sama ada mental, emosi mahupun fizikal

Isi 4 :   Mengutamakan pakej ilmu dan pendidikan keluarga melebihi agenda lain dalam keluarga - menjaminkan anak-anak menerima pendidikan yang secukupnya sama ada dunia atau akhirat - meminimumkan agenda hiburan terutama hiburan yang melalaikan - mendedahkan anak-anak dengan iklim kehidupan yang baik

Isi 5 :   Mewujudkan interaksi yang sihat dan mesra dengan jiran tetangga - untuk melahirkan semangat kerjasama dan saling bertanggungjawab terhadap segala masalah terutama yang  melibatkan anak-anak remaja - bersama-sama menjadi mata dan telinga terhadap gelagat anak-anak remaja - sentiasa menaruh kepercayaan terhadap jiran tetangga dalam usaha menangani gejala kurang sihat dalam kalangan anak-anak

Kesimpulan :    Kesempurnaan minda dan akhlak dalam kalangan anak-anak bermula di rumah. Oleh yang demikian, untuk melahirkan anak-anak yang baik seharusnya suasana dalam rumah tangga perlu menjadi baik terlebih dahulu. Dalam arus kebejatan sosial yang semakin rencam sekarang, wajarlah institusi keluarga diperkasakan agar menjadi benteng terawal dan terakhir untuk menyelamatkan remaja daripada terus tenggelam dalam gelombang ancaman wabak sosial.


3.  Industri pelancongan merupakan antara penyumbang terbesar ekonomi negara. Anda ingin menulis rencana tentang peranan yang perlu dimainkan oleh pelbagai pihak untuk memajukan industri palancongan.

Tulis rencana tersebut selengkapnya.

MAKLUMAN : Rujuk rangka isi sama ada Pulau Pinang atau Perak
4.  Penganjuran sukan bertaraf dunia seperti perlumbaan kereta Formula 1, perlawanan bola sepak piala AFC dan perlumbaan basikal le Tour de Langkawi wajar diteruskan kerana banyak faedah yang diperoleh melalui penganjurannya.

Nyatakan faedah-faedah penganjuran sukan bertaraf dunia.

MAKLUMAN : Dengan ihsan dilampirkan sampel karangan hak cipta saya sebagai rujukan anak-anak didik.

Para atlit negara ke peringkat antarabangsa sering disebut sebagai duta kecil. Mereka membawa mesej damai, menghulurkan salam silaturahim, dan pembawa obor keamanan sejagat. Ketika di atas gelanggang dan di atas trek, mereka berjuang demi maruah negara. Tiada perasaan dendam dan kebencian. Semuanya dengan falsafah ‘majulah sukan untuk negara’. Sesungguhnya, sukan mampu menjadi tonik untuk melegakan buat sementara waktu segala ketegangan dan perselisihan yang berpunca daripada perbezaan ideologi dan politik.

                Sejarah sukan peringkat antarabangsa telah bermula daripada pemujaan dewa Zeus. Di sinilah bermula suatu pertandingan memperagakan kekuatan dan kemahiran manusia. Sukan tersebut akhirnya dinamakan sukan Olimpik bersempena dengan nama Olympus. Olympus ialah pelari marathon yang paling ulung apabila berjaya membawa obor sukan dari Athen ke Sparta. Walau bagamanapun, beliau mati sebaik sahaja menyalakan obor sukan Olimpik. Demikianlah lambang semangat gigih dalam perjuangan sukan yang akhirnya diabadikan sebagai perlumbaan mempertahankan maruah bagi sesuatu bangsa dan negara. Pada zaman moden ini pelbagai temasya sukan lagi dianjurkan. Antaranya Sukan Komanwel, Sukan Asia, dan Bola Sepak Piala Dunia. Selain itu, acara-acara yang berprestij yang bertaraf dunia seperti lumba basikal, Formula 1, dan GP Motor mula menarik minat di seluruh dunia. Pendek kata semua acara sukan tersebut menjadi wadah mempertahankan maruah di samping sebagai deligasi keamanan sejagat.

                Walaupun kemenangan dan menjulang piala menjadi matlamat, namun penyertaan dalam sukan di peringkat antarabangsa membawa seribu harapan untuk menggerakkan warga dunia agar lebih cinta akan keamanan. Di gelanggang para atlit bersaing hebat, namun di luar gelanggang mereka menjalinkan silaturahim. Mereka pembawa mesej damai. Segala perbezaan politik dan perbezaan pendapat di peringkat pimpinan dapat dipadamkan apabila para atlit bertemu. Falsafah buang yang keruh ambil yang jernih benar-benar dianuti.

                Dalam kalangan atlet juga, mereka sentiasa berhubung dan mengikat tali persahabatan. Persahabatan tersebut terus berpanjangan sehingga ke luar gelanggang. Mereka mampu mewujudkan suatu rangkaian atlet dunia dan membuka lembaran baru dalam kehidupan yang realiti. Ada antaranya yang dapat mewujudkan rangkaian niaga di peringkat global. Ketika bergaul para atlet dapat mendalami tentang hal ehwal politik, sosial, dan ekonomi negara-negara peserta. Barangkali bagi sesetengah negara dalam gelanggang politik mereka berseteru, namun di atas gelanggang arena mereka bersaing secara sihat. Demikianlah falsafah dan ideologi yang amat tersirat dalam bidang sukan

                Sebagai tuan rumah, penghormatan yang diberikan dapat mengangkat imej sesebuah negara di mata dunia. Seluruh pelosok dunia akan mengalih perhatian kepada mana-mana negara yang telah terpilih menjadi tuan rumah. Kepercayaan yang diberi menandakan negara tersebut memiliki kredibiliti untuk menguruskan segala aspek teknikal, pengurusan, keselamatan, dan prasarana. Kejayaan Sukan Asia di Doha pada tahun 2006 telah dengan sepantas kilat mengangkat imej Qatar negara kecil di Teluk Farsi itu sebagai sebuah koloni yang disegani. Demikian pula, Afrika Selatan yang telah diamanahkan menjadi tuan rumah Bola Sepak Piala Dunia 2010 merupakan negara selatan Afrika yang paling istimewa menjadi tumpuan dunia amnya. Malahan tawaran yang sampai ibarat pucuk dicita ulam mendatang, orang mengantuk disorongkan bantal.

                Kelebihan juga turut diperoleh negara tuan rumah dalam hal tukaran wang asing. Sumber dana yang disumbangkan oleh Konfiderasi Sukan Internasional amat ditunggu-tunggu oleh setiap negara yang dipilih menjadi tuan rumah. Segala perbelanjaan yang bermula dengan penyediaan infrastruktur sukan dan kemudahan prasarana seperti tempat tinggal, pengangkutan, makanan, dan logistik lain menjadi lombong emas kepada negara tuan rumah. Nilai tukaran wang asing menjadi lebih besar apabila semua mata wang dunia bertumpu ke negara tersebut. Semasa Piala Dunia ke-19 yang berlangsung di Afrika Selatan pada 2010, negara pertemuan dua lautan itu turut menerima limpahan pelancong ‘segera’ yang turut membawa tukaran wang asing  sebanyak 323 juta pound sterling dalam masa tiga puluh hari sahaja. Secara sambil menyelam minum air, negara-negara yang menjadi tuan rumah dapat mempertingkatkan industri pelancongan khususnya dalam bidang pelancongan sukan. Pendek kata, setiap negara yang dipilih menjadi tuan rumah pasti memperoleh habuan yang berlipat ganda.

                Kemeriahan sukan menjadi penglahiran hati nurani setiap peserta dan harapan kepada seluruh warga dunia. Mereka membawa mesej perjuangan suci dan mengangkat martabat negara masing-masing di mata dunia. Dengan hal yang demikian, penganjuran sukan di peringkat antarabangsa hendaklah jangan diganggu gugat oleh mana-mana tangan politik berpengaruh demi mempertahankan keamanan sejagat.

5.  Peribahasa ‘bukit sama didaki, lurah sama dituruni’ menggambarkan bahawa semangat hidup bermasyarakat penting dalam kehidupan seharian.

Bancangkan manfaat semangat tersebut kepad masyarakat.

MAKLUMAN : Tiada rangka isi untuk soalan ini – (harap maaf)


JOHOR

1.  Semua warga sekolah terutama murid-murid bertanggungjawab untuk mengekalkan tahap disiplin dalam kalangan murid di sekolah.

Bincangkan.

Pendahuluan :  ‘Disiplin’ suatu kata yang sudah cukup klise tetapi sangat berhantu dalam kalangan pelajar. Bagi pelajar di sekolah, dalam mana-mana peringkat sekalipun sentiasa rimas apabila dikaitkan dengan perihal disiplin. Malahan, dalam beberapa keadaan, guru-guru yang menjadi penguasa disiplin sangat ‘popular’ dengan kebencian oleh para pelajar. Kisah-kisah panas guru disiplin dipukul, kereta guru dicalari atau disimbah cat telah menjadi sebahgian daripada risiko yang terpaksa dihadapi. Walau bagaimanapun, dalam benci tapi ‘rindu’ tanpa peraturan dan disiplin mungkin sistem pendidkan di Malaysia tidak sampai ke tahap yang ada seperti sekarang. Oleh itu, pelestarian sistem disiplin hendaklah diteruskan dan sentiasa diperkasakan supaya proses kemenjadian pelajar akan berhasil.

Isi-isi penting :
Isi 1 :  Agar dapat mewujudkan iklim pembelajaran yang selesa, selamat, tenteram serta dapat melahirkan modal insan yang berkualiti – tanpa suasana pembelajaran yang kondusif matlamat mendidik akan terbantut – melahirkan generasi pelajar yang membawa pelbagai anasir kepada mengara

Isi 2 :  Dapat menjalinkan hubungan yang akrab dan mesra antara murid dan guru serta sebaliknya – mewujudkan suasana taman ilmu yang tenteram dan berhikmah – wujud jalinan kasih sayang dalam kalangan warga sekolah

Isi 3 :  Berupaya melahirkan insan soleh yang berilmu, berakhlak, dan kompeten –sebagai jaminan terhadap masa dengan lahirnya modal insan yang hebat dan cemerlang

Langkah-langkah :

Isi 4 :  Semua sistem, rutin dan program sekolah hendaklah dipatuhi oleh pelajar – cuba menghayati nilai disiplin sebagai penggerak dan penjana kejayaan

Isi 5 :  Semua pelajar hendaklah menanamkan perasaan bangga terhadap alma mater – menanamkan azam untuk berjasa kepada sekolah dan menjulang nama sekolah ke persada pendidikan negara

Kesimpulan :  Tepat sekali apabila dikatakan disiplin adalah berperanan sebagai janakuasa yang menggerakkan ketahanan diri pelajar daripada terjerumus ke kancah bahaya. Walaupun, disiplin bukan elemen yang popular dalam kalangan umum pelajar, namun kehadirannya hendaklah diterima, ibarat ubat sekalipun pahit namun sangat mujarab.


2.  Slogan ‘Rumahku Syurgaku’ amat berkesan dalam mewujudkan keharmonian sesebuah keluarga seterusnya mengatasi masalah rumah tangga.

Jelaskan peranan keluarga agar slogan tersebut menjadi kenyataan.

Pendahuluan :  ‘Keluarga’ ungkapan keramat yang wujud sejak berabad silam merupakan paksi yang melahirkan tamadun manusia hingga kini. Kesempurnaan keluarga menjadi penentu kepada masayarakat yang progresif dan dinamik.  Dengan yang demikian, saya berpendapat, sebuah keluarga yang harmoni dalam lingkungan ‘Rumahku Syurgaku’ pasti menjadi penyumbang utama untuk mengatasi masalah rumah tangga.

Isi 1  :  Membina sebuah keluarga yang beriman dan bertakwa – hidup yang berpaksikan iman dan takwa akan mendapat taufik dan hidayah Allah – terlindung daripada perkara-perkara keji yang boleh memporak-perandakan keluarga

Isi 2  :  Dapat melahirkan zuriat yang sempurna dan seimbang dalam aspek fizikal, mental, rohani dan emosi - asuhan dan belaian yang sempurna menjadi ‘baja’ kepada pertumbuhan sahsiah anak-anak -  interaksi keluarga yang lemah lembut dapat membentuk sikap penyayang (mawadah)

Isi 3  :  Dapat membina sebuah keluarga yang mementingkan akhlak, agama, dan ilmu pengetahuan - anak-anak yang berakhlak dan beragama bakal menjadi modal insan yang berkualiti - anak-anak akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk cemerlang dalam pelajaran dan memperoleh kerjaya yang cemerlang

Isi 5  :  Menghindari segala tindakan negatif daripada anak-anak – mengawal emosi yang tenteram dalam kalangan anak-anak – memebentuk minda yang cerdas - ibu bapa dapat mengawal anak-anak daripada anasir buruk dan memberi motivasi untuk memburu cita-cita dan ingin menjadi cemerlang

Kesimpulan :    Keluarga pasti menjadi nukleus utama untuk anak-anak. Keluarga merupakan institusi tertua menentukan arah dan hala tuju seseorang. Oleh itu, keluarga yang harmoni pasti menjanakan kejayaan yang cemerlang terhadap anak-anak.


3.  Di Malaysia, nasib golongan istimewa atau lebih dikenali sebagai orang kelainan upaya (OKU) telah mendapat perhatian serius daripada pihak kerajaan.

Tulis sebuah rencana tentang usaha-usaha yang dijalankan oleh kerjaan untuk membantu golongan tersebut.

Pendahuluan : Di suatu lorong deretan kedai kelihatan seseorang yang sangat daif dengan pakaian tidak terurus sedang menadah tangan memohon simpati orang yang lalu lalang. Dalam situasi yang lain pula kelihatan seseorang yang tidak cukup anggota memohon simpati orang yang sedang lalu lalang membantunya menolak kerusi roda. Malahan di asrama-asrama yang daif mereka ini terpaksa tinggal berasak-asak. Demikianlah gambaran mudah tentang senario orang kelainan upaya (OKU) di Malaysia. Bagi rakyat Malaysia golongan OKU bukanlah suatu isu yang mendesak di negara ini. Lebih banyak isu yang harus diberi perhatian seperti isu politik, ekonomi dan isu gejala sosial yang tidak pernah kunjung selesai. Demikianlah nasib OKU yang sehingga ke hari ini masih dalam keadaan dilema, terbiar, dan menghadapi masa depan yang penuh hambar. Sesungguhnya sebagai insan, OKU juga mempunyai hati dan perasaan yang menuntut mereka diberi peluang untuk meneruskan hidup. Saya berpendapat memang tepat sekali pelbagai usaha harus digemblengkan sebagai langkah untuk membantu golongan tersebut meneruskan kehidupan.


Isi 1 : OKU hendaklah diberi peluang menuntut ilmu sehingga ke peringkat tertinggi yang mereka mampu – bukan semua OKU yang tergencat mental – ilmu sahaja yang mampu mengubah kehidupan insan

 Isi 2 : Menyediakan pelbagai bidang kemahiran yang sesuai dengan OKU – sebagai alternatif kepada golongan yang tidak mampu meneruskan pengajian

Isi 3 : Menyediakan segala infrastruktur yang mesra OKU – bagi memudahkan pergerakan dan urusan harian mereka

Isi 4 : Masyarakat perlu membuka minda untuk menerima OKU seadannya – kecacatan bukan alasan untuk menysihkan mereka – kekurangan yang dialami bukan untuk dihina tetapi untuk diinsafi

Isi 5 : Kerajaan dan swasta hendaklah menyediakan peluang pekerjaan yang layak dengan kemampuan OKU – melaksanakan tanggungjawab atas wadah masyarakat prihatin dan penyayang

Kesimpulan : Sesungguhnya, tiada seorang insan pun yang mahu dirinya dipinggirkan. Mereka mahu hidup bebas dan berdikari. Sebaliknya, takdir yang menentukan, justeru tiada sesiapa yang boleh menentang takdir. Sungguhpun begitu, kita tidak boleh menidakkan ikhtiar untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik seperti mereka. Seandainya terus dibiarkan, mereka pasti menimbulkan pelbagai beban dan kesulitan kepada kita sehinggakan tiada beban batu digalas.

MAKLUMAN : Sesiapa yang memiliki modul saya bagi edisi 2011 (kulit biru), sila rujuk sampel karangan lengkap tentang OKU dalam muka surat 19.


4.  Kejayaan sebahagian besar negara di dunia ini dalam bidang ketenteraan, ekonomi, politik dan pendidikan bergantung kepada semangat patriotik dalam kalangan rakyat negara tersebut.

Jelas langkah-langkah yang perlu diambil oleh sesebuah negara untuk menyemai semangat patriotik dalam kalangan rakyatnya.

CATATAN :  Tiada rangka isi disediakan – (harap maaf)


5.  Anda telah menjadi ahli panel dalam program ‘Bicara Ilmu’ sempena majlis pelancaran sebuah novel karya seorang penulis tempatan.
Huraikan pendapat anda mengenai unsur-unsur yang perlu ada dalam sebuah novel untuk memikat pembaca.
Pendahuluan : Bagi seorang peminat filem  Bollywood mungkin kecantikan heroinnya yang menjadi keutamaan. Apabila menonton filem Barat pula mungkin aksi dan dialognya yang menjadi perhatian. Natijahnya, kehebatan sesebuah filem atau sebarang hasil kreatif  amat berkait rapat dengan kekuatan yang ada kepada genre tersebut. Namun begitu, kekuatan dalam suatu aspek sahaja belum cukup untuk melonjakkan idea ciptanya. Setiap aspek binaannya adalah saling bergantung dan saling menyokong. Sebagai pengarang kreatif, sudah tentu saya mempertimbangkan banyak aspek binaan sastera diberikan keutamaan agar karya saya lebih menarik dan lebih bertenaga.

Isi 1 :  Memilih tema dan persoalan yang menarik - tema yang menjadi perhatian masyarakat semasa (tema remaja, tema masyarakat materialistik, dan tema perpaduan) - membincangkan konflik dalam masyarakat - mengemukakan persoalan-persoalan yang realistik - membentuk persoalan untuk membolehkan masyarakat berfikir

Isi 2 :   Mengenal pasti latar yang sesuai dengan kehidupan semasa - latar tempat yang pelbagai dengan corak kehidupan masyarakat - mewujudkan pelbagai konflik masyarakat berdasarkan latar - menampilkan pelbagai bentuk latar masyarakat yang sesuai dengan latar tempatnya

Isi 3 :   Menampilkan watak dan perwatakan yang berkesan - watak sebagai penggerak utama dalam sesebuah cerita - menggayakan pelbagai bentuk aksi watak - peranan yang seimbang antara watak protagonis dan antagonis - mewujudkan konflik yang menarik, mencabar dan sentiasa segar melalui pelbagai tindakan watak

Isi 4 :   Mempelbagaikan variasi bahasa yang menarik - bahasa sebagai medium penting untuk menyampaikan cerita - menggunakan ragam bahasa yang mudah, tepat, dan pelbagai - unsur-unsur bahasa seperti kiasan, naratif, huraian, dan dialog - memasukkan teknik-teknik bahasa yang inklusif, dramatik, dan gaya bahasa kontemporari

Isi 5 :   Nilai dan mesej/amanat - nilai dan mesej tetap menjadi matlamat akhir penghasilan bahan-bahan kreatif - membolehkan pembaca membuat perbandingan antara unsur baik dan buruk melalui penerapan nilai secara langsung dan tidak langsung - memberikan keinsafan dan menganjak paradigma berfikir, dan bertindak - bermatlamat membentuk sebuah masyarakat yang gemar membaca - melahirkan sebuah masyarakat yang progresif melalui amalan membaca.

Sampel kesimpulan :  Genre-genre kreatif bukan sekadar menjadi bahan bacaan untuk perintang waktu sahaja. Genre yang bermutu pasti berjaya menganjak minda masyarakat untuk berfikir secara kritis, realisitik, dan analitikal. Oleh itu, genre sastera yang berkualiti pasti dapat membina masyarakat yang dinamik dan cemerlang. Demikianlah harapan saya apabila menghasilkan sebuah bahan penulisan kreatif.


SBP

1.  Melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi setelah menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia menjadi idaman setiap remaja.

Jelaskan ciri-ciri pusat pengajian tinggi yang menjadi idaman anda.

Pendahuluan :  Dunia hari ini semakin pantas membangun. Pelbagai kemajuan teknologi sama ada dalam bidang perubatan, perhubungan, teknologi maklumat, mahupun angkasa lepas telah mengalami revolusi dan anjakan yang amat mengagumkan sekali. Sebenarnya semua pencapaian tersebut dijanakan oleh transformasi pendidikan oleh  bidang ilmu pengetahuan yang amat drastik. Pelbagai institusi pendidikan tinggi sama ada kolej, politeknik mahupun universiti tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Kini tiada kegusaran lagi untuk kuntum-kuntum kesuma menggapai impian menjadi insan terpelajar. Pendek kata, di mana-mana ada kemahuan di situ ada jalan. Dalam hal ini, saya mengimpikan sebuah alma mater yang mempunyai ciri-ciri keintelektualan, kepimpinan, arah tuju kerjaya dan mampu melahirkan modal insan yang seimbang antara duniawi dan ukhrawi.

Isi-isi penting :

Isi 1 :  Akan cuba mengenal pasti IPT yang menawarkan bidang kursus yang benar-benar menepati dengan cita-cita saya

Isi 2 :  Memilih IPT yang terkenal dari segi kompetesi (mampu dan layak) akademik dan kokurikulum – gedung ilmu yang mampu melahirkan insan terpelajar yang serba boleh

Isi 3 :  Memilih IPT yang mesra kepada pasaran pekerjaan – boleh mengeluarkan graduan yang berkelayakan dengan pasaran guna tenaga kerja semasa

Isi 4 :  Memilih IPT yang mengutamakan pelan pendidikan yang seimbang antara kecermerlangan akademik, sahsiah dan kerohanian – benar-benar menjadi insan yang tahan uji dengan cabaran global

Isi 5 :  Memilih IPT yang sentiasa peka terhadap perubahan global – sentiasa dinamik (berubah mengikut kehendak semasa) – wujud pembaharuan dalam aspek akademik, penyelidikan dan sumbangan kepada kemajuan ummah

Kesimpulan :  Memetik kata-kata Saiyidina Ali KW, “Berdaganglah kamu dengan ilmu kerana Ilmu akan bertambah apabila diperdagangkan, manakala harta akan berkurang apabila diniagakan. Ilmu menjaga kamu dan kamu menjaga harta”.  Sesungguhnya, saya yakin apabila ilmu penuh di dada, masa depan pasti terjamin. Oleh itu, langkah yang strategik, saya hendaklah mencari IPT yang benar-benar boleh memberi jaminan masa depan kepada saya.


2.  Ibu bapa merupakan pendorong utama dalam membudayakan  amalan  membaca dalam kalangan anak-anak.

Jelaskan  usaha-usaha yang dilakukan  ibu bapa bagi memastikan amalan  membaca menjadi budaya dalam kalangan keluarga mereka.

MAKLUMAN : Soalan ini hampir sama dengan Perlis – sila rujuk

Pendahuluan :  Apabila kita menoleh semula kepada  sejarah kemajuan manusia, perihal membaca merupakan suatu wahana yang menjadi enjin utama untuk sesuatu bangsa itu maju. Dalam sejarah Islam juga, permulaan madani bermula dengan membaca apabila Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertama di Gua Hira dengan asas membaca. Seterusnya membaca terus menjadi nadi kejayaan Zaman Renaisance apabila banyak sumber bacaan dalam tamadun Islam berpindah tangan kepada masyarakat Barat selepas berakhirnya Perang Salib. Revolusi ciptaan mesin cetak yang bermula di Jerman telah membuka dimensi pembacaan sebagai sangat penting yang menganjak manusia menemukan pelbagai ciptaan moden hasil pembacaan. Oleh itu, tradisi warisan turun-temurun ini hendaklah diteruskan khususnya dalam kalangan keluarga untuk membudayakan amalan membaca dalam kalangan anak-anak.

Isi-isi penting :

Isi 1 :  Ibu bapa perlu menjadikan aktiviti membaca sebagai agenda wajib dalam rumah tangga – membaca hendaklah menjadi amalan penting setaraf dengan keperluan asasi yang lain seperti makan, minum, riadah dan semua aktiviti keluarga

Isi 2 :  Ibu bapa hendaklah menunjukkan karisme sebagai golongan terpelajar dan berfikir – mencetuskan idea-idea baru, bernas dan matang melalui pengalaman membaca – melahirkan rasa bangga kepada anak-anak atas kebolehan ibu bapa

Isi 3 :  Mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk membentuk tabiat membaca – melengkapkan semua sudut di dalam rumah dengan prasarana membaca dan bahan-bahan bacaan yang pelbagai bidang

Isi 4 :  Cuba memahami watak dan kecenderungan anak-anak – menyediakan bahan bacaan yang sesuai dengan minat mereka

Isi 5 :  Mencuri peluang untuk menanamkan sikap suka berfikir secara intelektual – pemikiran kelas pertama melalui kegiatan membaca – sesi sumbang saran dan pendapat dalam kalangan ahli keluarga

Kesimpulan :  Dalam semua kecenderungan dan kejayaan anak-anak, ibu bapa adalah sebagai penjana utama. Walaupun tidak dinafikan aspek minat, kecerdasan dan bakat menjadi penentu jalan hidup anak-anak, namun ibu bapa berperanan penting untuk mewarnakan mereka dengan betul. Oleh itu, budaya membaca dalam keluarga akan menjadi mangkin kepada kejayaan anak-anak dalam apa-apa bidang yang mereka minati.


3.  Malaysia merupakan sebuah negara yang berpotensi untuk lebih maju dalam sektor pelancongan. Sehubungan dengan itu, anda ingin menulis rencana untuk disiarkan oleh akhbar tempatan. Tajuk rencana tersebut ialah “Usaha-usaha untuk Memajukan Pelancongan Negara.”

Tulis rencana itu selengkapnya.

MAKLUMAN : Sila rujuk soalan yang sama bagi negeri Pulau Pinang, dan Perak


4  Kerjasama yang erat antara negara jiran mendatangkan banyak faedah.

Jelaskan kebaikan yang diperoleh daripada kerjasama yang erat antara negara yang berjiran.

Pendahuluan:  Ibarat hidup sandar-menyandar bagai aur dengan tebing. Demikianlah hidup kita yang saling memerlukan antara satu dengan yang lain. Kita tidak boleh hidup bersendirian bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Banyak perkara yang kita perlu kepada sokongan orang lain. Tuhan juga telah berfirman dengan maksudnya, “Aku jadikan manusia daripada bersuku-suku dan berbangsa-bangsa agar mereka saling mengenali dan bertolong bantu.” Oleh hal yang demikian, sebagai kerajaan yang bebas dan merdeka, semua negara patut mengambil inisiatif untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan seluruh negara di  dunia tanpa memilih perbezaan pendapat, ideologi, bangsa, dan agama. Sesungguhnya, amat besar natijah di sebalik usaha diplomatik seperti itu.

Isi 1: Memperluas jalinan hubungan diplomatik dalam dasar luar negara – menjalinkan persefahaman dan hubungan bilateral dan multilateral (hubungan dua hala dan pelbagai hala) dengan kerajaan di seluruh dunia - agar wujud amalan mengiktiraf antara satu sama lain sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka - mengelak perasaan curiga dan prejudis dalam kalangan masyarakat dunia

Isi 2: Mewujudkan jalinan sosial, ilmu, dan budaya di peringkat global - menjadikan hub pendidikan global - mengeksport dan mengimport sumber maklumat dan ilmu pengetahuan melalui jaringan kerjasama di bawah badan dunia seperti UNESCO - mengenali cara hidup budaya dan adat resam pelbagai masyarakat dunia - menjalinkan persefahaman melalui misi sukan, kerja amal, dan sumbangan kemanusiaan

Isi 3: Mewujudkan rangkaian ekonomi dan perdagangan global - memperluas pasaran di peringkat global - memperkenalkan produk masing-masing di pasaran antarabangsa – menjalinkan hubungan dagang dan memperluas pasaran global – mewujudkan jaringan yang harmoni dalam situasi menang-menang

Isi 4: Mewujudkan jaringan serantau dan antarabangsa - mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti antarabangsa – persidangan tentang siasah, ekonomi, sosial, dan keamanan - menjaga kebajikan negara-negara serumpun dan serantau (ASEAN), negara-negara merdeka (KOMANWEL), kebudayaan (OIC), dan dunia (PBB)

Isi 5: Memenuhi tanggungjawab sosial untuk hidup sebagai warga dunia yang bersatu padu - menghormati hak asasi manusia untuk hidup bebas, berdaulat, dan diiktiraf - tidak bersikap mementingkan diri dan boleh berada dalam kelompok masyarakat dunia - memperluas sistem rangkaian maklumat global dalam jalinan maklumat siber -membangunkan minda dan peribadi rakyat agar setanding dengan warga dunia

Kesimplulan :  Dalam abad milenium ini, umat manusia tidak harus terkongkong dalam belenggu katak di bawah tempurung. Kita tidak boleh hidup bersendirian kerana sebarang gerak geri kita sentiasa diperhati oleh masyarakat global. Daripada kita dianggap sebagai bangsa yang tidak mesra masyarakat dunia dan disisihkan dalam pelbagai agenda lebih baik kita memberi sumbangan sedaya yang mampu. Kita harus berbakti kepada masyarakat dunia sekadar yang upaya bak kata peribahasa sedikit tanda ingat, banyak tanda ada.


5  Anda berhasrat untuk menyertai pertandingan penulisan cerpen yang dianjurkan oleh sekolah anda. Tema cerpen yang anda pilih ialah perpaduan kaum.

Tulis cerpen anda itu selengkapnya.

CATATAN :  Tiada rangka isi disediakan – (harap maaf)

MRSM

1.  Isu kebersihan terutamanya di kawasan sekolah perlu diberi perhatian serius.

Sebagai pelajar yang prihatin, kemukakan langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk memastikan persekitaran sekolah anda sentiasa bersih.

Pendahuluan :  Sekolah boleh diibaratkan sebagai taman-taman intelektual yang turut berperanan sebagai kilang yang mengeluarkan tenaga manusia yang berkaliber. Sekolah turut menjadi penyumbang pembinaan sebuah bangsa yang berperadaban dan lestari. Setiap insan yang keluar dari sesebuah institusi sekolah dengan jayanya pasti menjadi aset yang  bernilai kepada masyarakatnya. Sebagai sebuah organisasi yang banyak menabur budi kepada manusia, sekolah seharusnya memiliki ciri-ciri yang boleh dibanggakan seperti cemerlang, kualiti disiplin, dan landskap yang cantik dan bersih. Dalam merealisasikan hajat tersebut, pihak pengurusan dan guru sahaja tidak mampu untuk melaksanakannya, melainkan usaha tersebut harus menerima sentuhan ajaib daripada para pelajar sendiri. Oleh itu, saya sentiasa terpanggil dan beriltizam untuk turut sama menyumbang tenaga dan idea agar sekolah saya sentiasa bersih dan ceria.

Isi-isi penting :

Isi 1 :  Sedar dan insaf bahawa disiplin adalah antara penyumbang paling penting – kekebalan disiplin mampu menghalang pelajar berbuat sesuatu yang tidak sesuai semasa di sekolah – menyebabkan nama sekolah jatuh - menyeru, mengajak dan menunjuk teladan yang baik kepada raka-rakan agar sama-sama menyayangi sekolah

Isi 2 :  Membudayakan amalan 3K (Kebersihan, Keceriaan, dan Keselamatan) – program yang meletakkan sasaran supaya sekolah menjadi tempat yang selamat dan menyeronokkan pelajar – berganding bahu dengan semua warga sekolah

Isi 3 :  Mencadangkan kepada pihak sekolah untuk mewujudkan kawasan angkat untuk pelajar – pelajar melalui persatuan dan kelab menjaga dan menghiaskan kawasan kebanggaan yang menjadi milik mereka

Isi 4 :  Mencadangkan pihak sekolah menganjurkan pertandingan bersih dan indah –pertandingan termasuk bilik kelas dan kawasan angkat – melahirkan komitmen yang tinggi kepada pelajar untuk berbangga dengan kawasan angkat mereka

Isi 5 :  Menganjurkan pertandingan yang berbentuk koakademik – pertandingan melukis mural, poster, kata-kata hikmat dan pertandingan mengarang – mencungkil bakat dan apresiasi pelajar terhadap sekolah yang dicintai

Kesimpulan :  Pesanan daripada peribahasa, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat belajar haruslah diterapkan ke dalam jiwa pelajar agar terus mencintai dan berbangga akan alma mater yang pernah mendidik mereka. Sebagai tanda sayang, saya akan terus komited untuk mengangkat imej sekolah saya dalam semua perkara termasuk menjadikan sekolah saya yang terbaik dan terindah landskap dan budayanya.


2.  Kejayaan anak-anak berkait rapat dengan keperihatinan ibu bapa.

Ulaskan pernyataan di atas.

MAKLUMAN : Sila rujuk soalan yang hampir sama dengan soalan Johor
3.  Kebiasaan mengambil makanan segera seperti burger, piza dan mi segera menjadi suatu trend dalam kalangan rakyat Malaysia. Sehubungan dengan  itu, anda ingin menulis sebuah rencana yang akan disiarkan dalam akhbar tempatan yang bertajuk, “Kesan-kesan Buruk Pengambilan Makanan Segera Secara Berlebihan”.

Tulis rencana tersebut selengkapnya.

CATATAN : Tiada rangka isi disediakan – (harap maaf)

4.  Beberapa buah negara di dunia sedang mengalami pergolakan politik dan peperangan yang berlarutan sehingga menyebabkan rakyat hidup sengsara. Oleh itu, penglibatan Malaysia dan beberapa buah negara yang lain menganggotai misi keamanan dunia amatlah dipuji.

Jelaskan usaha-usaha yang dilaksanakan untuk menjayakan misi tersebut.

Pendahuluan : Gajah sama gajah berjuang pelanduk mati di tengah-tengah. Peribahasa tersebut benar-benar menggambarkan nasib malang yang ditanggung oleh rakyat jelata apabila kuasa-kuasa pemerintah bertelagah sesama sendiri. Korban rakyat Iraq yang sudah mencecah hampir sejuta orang berpunca daripada sikap angkuh mantan Presiden Amerika George W. Bush. Pada hari ini rakyat di rantau Timur Tengah sedang bertumpah darah demi menumbangkan regim kuku besi yang menzalimi mereka. Malahan malapetaka yang sudah sekian lama menimpa rakyat Palestin, Pakistan, Afghanistan, Kashmir, Darfur, dan pembersihan etnik yang berlaku di beberapa negara di Afrika telah menyaksikan sejarah peradaban manusia semakin ternoda. Oleh itu, selagi peluang masih ada, kita wajarlah menelusuri akan punca gejala tersebut membara dan seterusnya bertindak atas hemat untuk menyelesaikan krisis kemanusiaan tersebut.

Isi-isi penting :

Isi 1 :     Misi keamanan melalui misi kebudayaan dan seni - menghormati kebudayaan, kesenian, adab, dan fahaman agama – menyampaikan mesej bahawa semua manusia mempunyai hak untuk hidup, untuk bernegara dan memiliki kebebasan

Isi 2 :   Duta kecil dalam bidang ilmu pengetahuan – membuka peluang belajar sama ada di IPTA atau IPTS untuk seluruh warga dunia – menyampaikan mesej melalui saluran ilmu pengetahuan – inspirasi daripada keamanan dan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia - bertukar-tukar pengalaman tentang isu budaya, dan adab resam - menjalinkan hubungan mesra atas misi sebagai pelajar

Isi 3 :   Menghantar pasukan misi damai dan pasukan pengaman di bawah panji-panji PBB – menghalang perang saudara, memastikan genjatan senjata– tentera pengaman di Somalia, di Balkan dan Lebanon

Isi 4 :  Misi kemanusiaan di wilayah yang sedang bergolak – bantuan keperluan asas (makanan, ubat-ubatan dan pakaian) – misi bantuan ke Palestin (Viva Palestina), Rohingya, Kemboja – bantuan diberi tidak memilih perbezaan ideologi politik, agama, atau wilayah

Isi 5 :  Menganjurkan persidangan untuk keamanan di peringkat antarabangsa – Kuala Lumpur sering dipilih sebagai tuan rumah – berusaha menyatukan pihak yang bertelagah untuk kembali ke meja rundingan

Isi 6: Misi keamanan melalui khidmat tentera pengaman - dianjurkan di bawah payung misi keamanan PBB - untuk mengawal kawasan yang dilanda perang saudara - membantu menyelamatkan mangsa perang oleh pasukan perubatan, khidmat masyarakat, kaunseling, dan pendidikan - delegasi tentera dapat menjadi duta kecil menjalinkan hubungan kemanusiaan dan sosial dengan negara tempat bertugas – MALBAT dan MALCOM mendapat pujian dan pengiktirafan semasa di Bosnia

Kesimpulan :  Sesungguhnya setiap insan mempunyai hak untuk hidup dan hak untuk memperoleh kebebasan. Maha kaya Tuhan telah menciptakan pelbagai bentuk bumi dan pelbagai bangsa dengan setiap bangsa diperuntukkan tanah air sendiri. Sudah sewajarnya bangsa tersebut memakmurkan bumi mereka sendiri. Secara tegas pula, mereka dilarang mengancam peluang orang lain untuk hidup selamat. Seyogia, angkara sombong yang mengganggu hak orang lain untuk hidup bebas perlu dibanteras sepenuhnya.


SARAWAK
1.  Setiap remaja perlu mempersiapkan diri untuk menjayakan wawasan negara pada tahun 2020.

Jelaskan peranan anda sebagai remaja untuk menjayakan wawasan negara tersebut.

Pendahuluan :  Limpahan warga asing yang dianggarkan mencecah empat juta orang di negara ini adalah berkaitan dengan keperluan tenaga kerja di Malaysia yang semakin kritikal. Pelbagai projek pembangunan terutama sekali dalam sektor pembinaan, perladangan, dan pembantu rumah akan terbantut sekiranya tiada suntikan daripada tenaga kerja asing. Fenomena tersebut menjadi lebih genting apabila anak-anak muda Malaysia enggan menggalas tugas negara dengan memberi pelbagai alasan. Persepsi tersebut hendaklah diubah segera dengan setiap remaja harus memperlengkap diri dengan segala keupayaan untuk menyelamatkan negara. Sebagai remaja anak wawasan, saya menyimpan iltizam untuk berusaha sedaya upaya demi menyahut seruan Wawasan 2020 yang bakal menjelang beberapa tahun sahaja lagi.

Isi-isi penting :
Isi 1 :  Membina kekuatan diri dengan beriman, bertakwa dan beramal – amat penting kerana iman dan takwa sebagai enjin penggerak penting seseorang  itu berjaya – agama menggerak kesedaran dan semangat jihad demi negara – menjadi pengekang agar tidak terjerumus ke kancah moral

Isi 2 :  Mengisi dada dengan ilmu pengetahuan – belajar dengan bersungguh-sungguh – ilmu sebagai penggerak tamadun manusia – contoh negara-negara yang sangat maju dan berjaya seperti Jepun, Korea, China dan negara-negara di Eropah (kerajaan silam seperti tamadun Islam sendiri) kerana kehebatan menguasai ilmu pengetahuan

Isi 3 :  Memperlengkap ilmu yang diperoleh dengan kemahiran – kemahiran membuka peluang menceburi pelbagai kerjaya – mengambil kesempatan dengan adanya pelbagai institusi kemahiran seperti politeknik, Institut Belia Negara, IKM dan lain-lain

Isi 4 :  Memperkukuh azam dan komitmen patriotik terhadap negara – menghayati sejarah negara – mendalami nilai perjuangan dan usaha mempertahankan negara

Isi 5 :  Bersedia dengan ilmu dan bakat kepemimpinan – perlu untuk menguruskan diri – bersedia untuk menggalas tugas pemimpin yang telah pergi (patah tumbuh hilang berganti) – menyertai program kepimpinan dalam kokurikulum (menyertai persatuan, kelab dan sukan)

Kesimpulan :  Remaja ibarat bunga bangsa yang akan mengharumkan nama negara. Seyogia, remaja tidak sewajar gugur di tengah-tengah medan perjuangan. Saya sedar, seandainya remaja gagal mempertahankan nusa ini, nescaya peluang tersebut akan digunakan oleh orang lain untuk menjajahi kita semula.


2.  Pemupukan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat lebih berkesan jika bermula di rumah.

Bincangkan peranan keluarga dalam usaha memupuk milai murni dalam diri anak-anak.

MAKLUMAN : Soalan ini hampir sama dengan beberapa negeri yang lain. Sila rujuk


3.  Malaysia terkenal dengan keunikan masyarkat berbilang kaum dan hidup dalam keadaan aman dan sentosa. Sikap toleransi, saling menghormati, dan bekerjasama merupakan amalan hidup rakyat Malaysia yang telah mewujudkan perpaduan antara kaum.

Huraikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.

MAKLUMAN : Soalan ini amat hampir dengan soalan nombor 3 SPM 2011. Sila rujuk


4.  Ekonomi Malaysia yang sedang berkembang pesat telah menyebabakan Malaysia menjadi tumpuan pekerja asing. Sehubungan dengan itu, anda ingin menulis rencana untuk disiarkan dalam akhbat tempatan. Tajuk rencana tersebut ialah, “Kesan-kesan Kemasukan Buruh Asing Kepada Negara Kita”.

Tulis rencana itu selengkapnya.

Pendahuluan :  ‘Malaysia’ suatu sebutan yang cukup berharga dalam kalangan pendatang asing di seluruh dunia. Bermula dari hujung dunia antara masyrik ke maghrib dan dari paksina ke daksina, rata-rata kaum pendatang amat terliur untuk memasuki Malaysia. Semua impian tersebut berpunca daripada kata-kata segolongan warga Indonesia di negara ini yang menyebut, “Di Malaysia Emas Boleh Dikutip Di kaki Lima” menunjukkan peluang mencari rezeki dan hidup senang lenang terbuka dengan seluar-luasnya di sini. Oleh itu, tidak hairanlah Malaysia menjadi destinasi pilihan warga asing. Memang benar kedatangan buruh asing telah membantu mempercepat pembangunan negara, namun turut menyumbang kepada kesan-kesan negatif juga.

Isi-isi penting :
Isi 1 :  Sebagai pilihan majikan akibat kekurangan tenaga kerja tempatan – Jumlah penduduk Malaysia hanya 28 juta tidak mampu menampung permintaan buruh yang tinggi – taraf kemahiran dan kepakaran rakyat Malaysia masih lagi rendah

Isi 2 :  Mengurangkan secara relatif upah buruh yang boleh mengurangkan kadar kos hidup – upah buruh asing masih rendah – kesungguhan mereka bekerja amat berbaloi

Isi 3 :  Membantu memindahkan kepakaran teknologi dan kemahiran – masyarakat tempatan semakin sedar tentang pelbagai ilmu dan kemahiran yang dimiliki oleh orang asing – wujud kemahuan ingin bersaing – kemajuan negara akan diterajui oleh anak watan sendiri pada masa depan

Isi 4 :  Timbul isu keselamatan dan jenayah – tidak semua warga asing yang datang dengan niat bekerja (terdiri daripada penjenayah yang sangat dikehendaki di negara mereka) – kes-kes samun dan rompak bersenjata banyak melibatkan warga asing – meningkatnya kes pembunuhan

Isi 5 :  Timbul perebutan peluang ekonomi – warga asing yang mencuri peluang berniaga (rakyat Indonesia dan Nigeria) – tapak gerai peniaga kecil di sekitar Kuala Lumpur telah dimonopoli oleh warga asing

Isi 6 :  Merampas peluang kerja rakyat tempatan – rakyat terpaksa bersaing untuk mendapat kerja – keutamaan majikan memilih pekerja asing dengan relatif gaji yang lebih rendah – hampir 100 peratus  pasaran buruh kasar dimonopoli oleh warga asing

Isi 7 :  Timbul konflik budaya dan moral – membawa masuk pengaruh asing yang tidak sesuai dengan budaya dan agama rakyat Malaysia – gejala pelacuran, bersekedudukan – membawa kesan yang amat buruk kepada generasi muda – berlaku masalah setinggan

Kesimpulan :  Tuntasnya, peluang untuk hidup di muka bumi ini telah dibuka oleh Allah kepada semua manusia. Tinggal lagi apabila rakyat di sesebuah negara itu tidak merebut peluang yang Allah kurniakan, nescaya datanglah orang lain yang mencuri kesempatan. Mungkin analogi ini tepat dengan situasi di Malaysia sekarang. Seyogia rakyat Malaysia harus bangkit untuk menyelamatkan nusa ini daripada ancaman berterusan daripada warga asing. Ingatlah, “Di sini bumi yang kita pijak, justeru di sinilah langit yang kita junjung”.

ATAS BEBERAPA KESILAPAN KECIL SEPERTI KESALAHAN EJAAN, SAYA MEMOHON MAAF


PETIKAN DARIPADA KATA-KATA IMAM AL GHAZALI, “UNTUK MENGENAL DIRI LIHATLAH PADA CERMIN, UNTUK MENGENAL PERIBADI BERCERMINLAH PADA WAJAH”

JUSTERU, HIASILAH WAJAH ANDA DENGAN CAHAYA ILMU DAN NUR IMAN YANG TERBIT DARIPADA HATI NURANI YANG IKHLAS SERTA BUDI BAHASA DAN TUTUR YANG SOPAN.

BERTEMU SEMULA PADA TAHUN HADAPAN BERSAMA-SAMA MODUL SAYA EDISI 2013


IKHLAS DARIPADA......
HAJI ISHAK BIN MD SHAH
SM TEKNIK ALOR SETAR, KEDAH
019 4789803